suria

Khairul Padam Rekod 18 Tahun Acara Pecut Milik Watson

Khairul Hafiz Jantan mencipta rekod baharu kebangsaan acara 100 meter lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-18 di Stadium Sarawak pada Rabu. Foto: Bernama

KUCHING: Rekod 100 meter kebangsaan berusia 18 tahun akhirnya dileburkan pelari muda Melaka, Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-18, di sini pada Rabu.

Raja Pecut baharu negara itu melintasi garisan penamat dalam saingan akhir acara berkenaan di Stadium Sarawak dengan catatan 10.18 saat, sekali gus memadamkan rekod lama 10.30s yang dicipta Watson Nyambek pada Sukan Pra-Komanwel 1998.

Pingat perak milik pelari tuan rumah, Jonathan Nyepa yang mencatat masa 10.36s. Seorang lari pelari Melaka, Badrul Hisyam Abdul Manap, yang turut mencatat masa 10.36s terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Keputusan itu dibuat berdasarkan 'photo-finish'.

Bercakap kepada pemberita selepas kemenangan itu, Khairul Hafiz, 18, berkata rakan sepasukannya, Badrul Hisyam menjadi penyuntik semangat baginya mencatat keputusan tersebut.

"Badrul Hisyam bagaikan abang kepada saya kerana semangat yang diberi oleh dialah, saya mampu mencapai keputusan ini. Saya sebenarnya tidak sangka dapat mencapai keputusan ini kerana baru saja balik dari (Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di) Poland.

"Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ini rekod yang begitu lama...Alhamdulillah, saya dapat pecahkan rekod itu," katanya yang menangis kegembiraan meraikan kejayaannya itu.

Khairul Hafiz yang juga atlet di bawah Program Kita Juara Sukan SEA 2017, berkata kejayaan itu juga hasil tunjuk ajar jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, selain doa serta restu ibu bapanya.

Terdahulu pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu menjuarai saingan kedua separuh akhir 100m pada sesi pagi dengan masa 10.44 saat, sekali gus menyamai catatan di Poland.

Kejayaan memecahkan rekod kebangsaan itu melengkapkan musim cemerlang untuk Khairul Hafiz yang sudah memenangi beberapa gelaran, tahun ini.

Antaranya pingat emas acara 100m pada Kejohanan Remaja Asia di Vietnam bulan lepas dengan catatan 10.36 saat, selain mara ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia di Poland.

Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam bakal menyertai acara saringan separuh akhir 200m lelaki pada Khamis.

Sementara itu, wakil Perak Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri ditabalkan sebagai Ratu Pecut selepas memenangi acara 100m wanita dengan catatan 12.01 saat.

Pingat perak menjadi milik pelari Terengganu, Azreen Nabila Alias yang mencatat 12.04s, manakala rakan sepasukan Noor Eewan Syafiqah, Kang Woan Yi  mengutip gangsa dengan masa 12.13s. - BERNAMA

Khairul Hafiz, 100meter, rekod baharu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain