suria

Keletihan Punca T-Team Tumbang Di Laman Sendiri

Pemain Sarawak, Gilmar Jose Dilho cuba melepasi Mohamad Kamal Azizi M dari pasukan T-Team. - foto Zabidi Tusin/The Star

KUALA TERENGGANU: Keletihan antara punca skuad The Titans tumbang di laman sendiri dalam aksi Liga Super menentang Sarawak, malam Selasa.

Pengendalinya Rachmad Darmawan berkata faktor itu menyebabkan anak didiknya gagal mempamerkan aksi cemerlang, namun pihaknya sudah menjangkakan masalah itu  kerana pemain tidak mendapatkan rehat yang cukup selepas beraksi menentang Kedah, Sabtu lepas.

"Kita hanya ada dua hari untuk pulihkan tenaga dan kecederaan sebelum beraksi menentang Sarawak, berbanding pasukan lawan yang mempunyai kelebihan rehat sehari berbanding kita.

"Pemain tidak dapat memberi fokus sepenuhnya selain dua perlawanan berdepan Kedah dan Sarawak malam tadi dalam keadaan hujan," katanya kepada pemberita.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, skuad Bujang Senang menundukkan T-Team 2-1.

Gol tuan rumah hadir pada minit ke-15 melalui pemain import dari Brazil, Patrick Dos Santos Cruz, sebelum pemain import pasukan lawan Ndumba Makeche menyamakan kedudukan tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Sarawak menerusi pemain import dari Brazil, Gilmar Da Silva Jose menggegarkan gawang The Titans pada minit ke-68 bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Rachmad berkata aksi malam tadi adalah yang terburuk dipamerkan anak didiknya berbanding perlawanan sebelum ini.

"Separuh masa pertama, aksi mereka agak teruk hampir semua posisi tidak  beraksi dengan baik namun kita bangkit pada separuh masa kedua memperkemaskan permainan," katanya.

Ketua jurulatih Sarawak, David Usop pula enggan meletakkan pasukannya berada pada kedudukan selesa walaupun memperoleh tiga mata dalam perlawanan itu.

Beliau berkata pasukannya perlu berhati-hati dan mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang saingan penyingkiran itu. - BERNAMA

T-Team, Sarawak, Liga Super

Artikel Berikut

Artikel Lain