suria

Muhammad Aizat Raih Pingat Emas Pertama Perlis

Atlet angkat berat Perlis Muhammad Aizat Ahmad Nazim beraksi cemerlang dalam kategori 'Clean & Jerk' lelaki 50kg sempena Sukma ke-18 di Dewan Jublee UiTM Kota Samarahan.

KUCHING: "Ini pingat emas pertama seumur hidup saya",  itulah luahan hati gembira Muhammad Aizat Ahmad Nazim selepas memenangi pingat  emas acara angkat berat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di sini.

Lebih manis kegembiraannya itu turut diraikan ibu bapanya, Ahmad Nazim, 49 dan Akashah Mat Isa, 49.

Muhammad Aizat berjaya mengangkat 117 kilogram dalam 'clean and jerk' kategori 50kg Lelaki untuk mengatasi pesaing terdekat Mohamad Harith Lutfie Adnan dari Pulau Pinang dengan angkatan 116kg.

Pingat gangsa menjadi milik Syazwan Nizam Khadry dari Pahang dengan angkatan 105kg.

"Selepas kecewa acara 'snatch' tadi saya cuba untuk beri fokus terbaik dalam 'clean and jerk' walaupun saya tahu saya ada sedikit kekurangan dalam acara itu.

Kemenangan ini adalah hasil strategi jurulatih saya," kata atlet berusia 21  tahun dari Beseri itu.

Muhammad Aizat agak kecewa apabila gagal mencapai sasaran pingat emas akibat kelebihan berat badan dalam acara 'Snatch' selepas beliau dan dua lagi peserta, Mohamad Harith Lutfie dan Muhammad Zahrul Nizam Zamzuri membuat jamlah angkatan yang sama, 97kg.

Dari segi teknikal, berat badan Mohamad Harith Lutfie (49.25kg) dan Muhammad Zahrul Nizam (49.50kg) adalah lebih ringan berbanding Muhammad Aizat dengan  berat badan 49.78kg.

"Saya sasar dua pingat emas di sini. Saya yakin yang saya boleh memberi  persembahan terbaik dalam kedua-dua acara. Sebelum ini saya kurang menyerlah  dalam 'clean and jerk'. Selepas menjalani latihan selama 45 hari Indonesia, saya dapat perbaiki kelemahan saya dalam acara itu. Saya bersyukur dengan pencapaian  di sini," tambah beliau.

Menurut Muhammad Aizat, beliau bermula agak lewat dalam sukan angkat berat  iaitu ketika berusia 18 tahun dan pada Sukma pertamanya di Perlis, beliau  sekadar menyumbang dua pingat gangsa dalam kategori 52kg.

Beliau turut berharap dengan pencapaian di sini beliau dapat diserap ke dalam program 'Kita Juara'.

Sukma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain