suria

Sukma: Kontinjen WP Tambah Enam Emas Untuk Pintas Tuan Rumah

SAPU BERSIH…Atlet gimrama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (dari kiri) Rayna Hoh Khai Ling, Tammy Ng Jia Wen dan Nur Naieme Zainul Ariffin gembira setelah memenangi pingat emas masing-masing pada Sukma ke-18 di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Rabu. Rayna merangkul emas dalam acara tali, Tammy acara gelung dan bola manakala Nur Naieme dalam acara belantan. --fotoBERNAMA
KUCHING: Biarpun majlis pembukaan rasmi Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 akan berlangsung pada Sabtu ini, persaingan kontinjen untuk merebut kejuaraan kini sudah semakin sengit.

Juara keseluruhan edisi ke-17 Sukma di Perlis dua tahun lepas, Wilayah Persekutuan (WP) menambah enam pingat emas pada hari kedua untuk memintas kontinjen tuan rumah sebagai peneraju carta, setakat hari ini.

Selepas tamat saingan hari kedua, kontinjen yang dikenali sebagai 'Wipers' itu mengumpul tujuh pingat emas, enam perak dan tiga gangsa manakala kontinjen Sarawak pula dengan enam emas, tiga perak dan empat gangsa.

Sementara, Pulau Pinang di tempat ketiga, mengumpul lima emas dan empat gangsa.

Skuad gimnastik berirama menjadi penyumbang pingat terbesar WP dengan menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan pada hari terakhir acara gimnastik berirama di temasya kali ini, serta dua emas melalui acara taekwondo.

Kontinjen WP tekad untuk mempertahankan kejuaraan dengan menyasarkan 70 pingat emas pada temasya Sukma kali ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Morshidi Ghani, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma Sarawak, berkata setakat hari ini sejumlah 3,599 atlet dan pegawai telah tiba di sini.

"Jumlah ini termasuk atlet dan pegawai yang berada di Sibu dan Miri. Saya juga ingin menyatakan mesyuarat Ketua Kontinjen yang pertama diadakan hari ini dan mesyuarat itu akan diadakan setiap selang dua hari," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau mesyuarat berkenaan adalah untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul semasa penganjuran serta bagi menjaga kebajikan pegawai dan atlet sepanjang Sukma Sarawak berlangsung.

Hari ketiga Sukma esok, menawarkan sejumlah 14 pingat emas melalui acara  taekwondo, karate dan berbasikal.

Sukma-18, pingat emas, skuad Wipers

Artikel Lain