suria

Peruntukan Untuk Khairul Idham Telah Diluluskan - Khairy

Khairul Idham Pawi
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM100,000 bagi membantu karier pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata peruntukan yang diluluskan bulan lepas itu bagaimanapun tidak dapat diserahkan kepada Khairul Idham selepas pelumba berusia 17 tahun itu gagal memberikan nombor akaun miliknya serta beberapa dokumen yang diperlukan.

"Saya mempunyai salinan surat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara bertarikh 24 Jun 2016 yang dihantar kepada Khairul Idham berkenaan kelulusan peruntukan RM100,000 seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Dalam surat itu kita meminta beberapa maklumat peribadi termasuk akaun bank atas nama Khairul Idham tetapi diberikan akaun bank atas nama bapanya, Pawi Omar dan dokumen yang diserahkan juga tidak lengkap seperti diminta," katanya pada sidang media selepas melancarkan Perdana Fellows Structured BootCamp 2016 di sini Rabu.

Beliau mengulas mengenai keluhan Pawi, 52, Isnin lepas yang terkilan tiada pihak membantu pembangunan karier pemenang Moto3 Grand Prix Jerman seperti membiayai kos pegawai pengiring untuk Khairul Idham.

Menurut laporan akhbar, Pawi mendakwa sehingga kini, mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi melancarkan karier anaknya termasuk membiayai pegawai pengiring.

Mengulas lanjut, Khairy berkata kementerian tidak boleh menyerahkan peruntukan tersebut begitu sahaja kerana selain memerlukan dokumen yang lengkap wang tersebut diluluskan atas nama Khairul Idham, bukan bapanya.

Selain mahu semua pihak menyampaikan maklumat yang benar, Khairy juga memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk meluluskan RM100,000 lagi kepada pelumba pasukan Honda Team Asia itu sebagai tambahan kepada peruntukan yang diluluskan sebelum ini.

Mengenai tujuan peruntukan, katanya ia diluluskan atas nama pembangunan karier Khairul Idham dan terpulang kepadanya bagaimana untuk menggunakan wang tersebut sama ada untuk latihan, peralatan atau membayar pegawai pengiring seperti yang diminta.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau sedang menunggu perkenan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menghadap bagi membincangkan dakwaan penyelewengan yang dikatakan berlaku dalam persatuan itu seperti dinyatakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya beliau mungkin akan memutuskan sesuatu selepas pertemuan yang dijangka minggu depan itu bagi penyelesaian kepada kemelut antara TMJ dan FAM yang berlarutan sekian lama.

Berhubung dakwaan Tunku Ismail bahawa baginda mempunyai bukti penyelewengan yang berlaku dalam FAM, Khairy berkata jika benar, maklumat itu seharusnya dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan kegiatan rasuah dalam FAM dan meminta Tunku Ismail menyerahkan maklumat berhubung dakwaan yang dibuat.

Artikel Lain