suria

Demi Tugas, Subkhiddin Beraya Sendirian Di Korea Selatan

Subkhiddin (berdiri, tengah) ditemani isteri (depan) dan anak-anaknya di KLIA sebelum berangkat ke Korea Selatan Sabtu lalu.

'ALAH bisa, tegal biasa', perumpaman yang sudah sebati dengan pengadil  bola sepak Malaysia yang pernah menyertai Piala Dunia Fifa, Mohd Subkhiddin Mohd Salleh yang  berjauhan dengan keluarga tersayang pada Aidilfitri.

Subkhiddin kini bertugas sebagai tenaga pengajar rasmi oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

"Sekarang saya banyak habiskan masa dengan tugasan sebagai tenaga pengajar teknikal pengadil Fifa.

"Saya perlu bergerak berdasarkan tugasan dan arahan yang diberikan Fifa serta bertanggungjawab membantu mempertingkatkan kualiti, prestasi dan kefahaman kumpulan pengadil di setiap negara supaya sentiasa konsisten dalam melaksanakan peranan masing-masing di padang.

"Untuk itu, pengadil yang terlibat dalam kejohanan Piala Dunia adalah sebagai 'benchmark' atau penanda aras untuk diikuti," jelasnya mengenai tugas yang dipikul sekarang kepada mStar Online.

Menurut pengadil kelahiran Parit Buntar, Perak ini, dia bertuah dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik setakat ini dan pada masa sama dapat memperkenalkan Malaysia di mata dunia dengan cara tersendiri.

Namun ada 'harga' yang perlu dibayar Subkhiddin demi tugas ini apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.

"Tahun ini saya tidak sempat berpuasa bersama keluarga memandangkan sebelum ini sebelum ini saya berada di Honiara, Solomon Islands antara 17 hingga 21 Jun dan seterusnya ke Papua New Guinea bermula 24- 28 Jun. 

"Dan Khamis lalu (30 Jun) saya tiba di kediaman saya di Penang bertemu keluarga tersayang, hilang segala rindu  walapun hanya dua hari di rumah sebelum berangkat ke Korea Selatan," katanya.

Tempoh dua hari itu, digunakan sepenuhnya pengadil berusia 50 tahun itu dengan memenuhi keinginannya untuk makan masakan kegemarannya yang dimasak isterinya seperti Ikan Tenggiri Masak Kelantan dan Daging Masak Daun Kari.

"Tempoh singkat itu juga saya sempat bawa keluarga membeli-belah persiapan hari raya. Sekurang-kurang saya tahu apa yang mereka pakai apabila berjauhan ini," katanya.

Subkhiddin berangkat ke Korea Selatan pada 2 Julai lalu bagi meneruskan tugas rasminya selama sembilan hari.

"Bukan kali pertama tak dapat sambut raya bersama keluarga, tetapi hati tetap merindui mereka," katanya yang ditemani isteri serta tiga anaknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Subkhiddin yang pernah dilantik sebagai pengadil Piala Dunia Fifa bawah 20 Tahun pada 2007 di Kanada sebelum ke Afrika Selatan sebagai pengadil keempat pada aksi Piala Dunia 2010 juga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia dan warga sukan negara.


Mohd Subkhiddin Mohd Salleh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain