suria

Mkhitaryan Tandatangani Kontrak Bersama Man United

Mkhitaryan (kiri) berjabat tangan dengan Mourinho.

PEMAIN dari kelab Borrussia Dortmund, Henrikh Mkhitaryan menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Manchester United.

Perpindahan pemain tengah itu melibatkan tawaran bernilai £26.3 juta (RM137.31 juta).

Mkhitaryan yang berusia 27 tahun menjadi pemain ketiga Man United pada musim panas selepas Eric Bailly dari Villarreal dan Zlatan Ibrahimovic dari Paris Saint-Germain.

Menerusi laman web Man United, kata Mkhitaryan: "Saya amat berbangga menyertai Manchester United, langkah ini memperlihatkan impian saya menjadi kenyataan. Saya teruja untuk bermain dengan kelab yang mempunyai sejarah kegemilangannya dan berharap untuk menjadi sebahagiannya untuk masa yang lama. 

"Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kelab dan Jose Mourinho kepada saya."

Mkhitaryan bersama jersi Manchester United.

Pengurus pasukan Man United, Jose Mourinho berkata: "Henrikh merupakan pemain bola sepak yang sangat berbakat untuk kedua-dua kelab dan negaranya.

"Saya gembira dia memilih untuk menandatangani dengan Man United.

"Saya percaya dia akan memberi impak kepada pasukan dengan segera. Kita semua tidak sabar untuk bekerjasama dengannya."

Sebelum ini dilaporkan Borrussia Dortmund telah mendedahkan berita perpindahan pemain tersebut di laman rasmi kelab dan mengucapkan selamat maju jaya pada musim baharu nanti.

Kelab Liga Jerman itu mengakui tidak ada pilihan selain terpaksa meletakkan harga ke atas Mkhitaryan yang ingin menjadi pemain bebas musim depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain