suria

Selepas Messi 'Pergi', Jurulatih Argentina Letak Jawatan

Gerardo Martino
PASUKAN kebangsaan Argentina goyah apabila Lionel Messi memutuskan untuk mengundur diri, dan terkini ketua jurulatihnya, Gerardo Martino turut mengumumkan perkara sama.

Keputusan Martino disebabkan kekecewaannya terhadap Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) yang dianggap tidak membuat persiapan yang baik untuk Olimpik 2016.

AFA sedang berdepan krisis kerana dakwaan penyalahgunaan dana awam dan isu kepimpinan. Justeru, FIFA memutuskan untuk mengambil alih organisasi berusia 123 tahun itu.

ESPN melaporkan, Martino telah bertemu dengan Wakil Presiden AFA Claudio Tapia untuk menyatakan kekecewaannya, pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, dia juga menyatakan hasrat untuk meninggalkan pasukan kebangsaan bersama kumpulan kakitangannya.

"Dia bersama seluruh kakitangannya telah meletak jawatan", menurut satu kenyataan di laman web rasmi AFA.

"Petugas teknikal pasukan kebangsaan telah membuat keputusan untuk menyerahkan peletakan jawatan mereka pada hari ini (Selasa).

"Berikutan ketidaktentuan terhadap penetapan pelantikan baru dalam Persatuan Bola Sepak Argentina dan masalah yang serius dalam kesepakatan menetapkan pasukan yang akan mewakili negara dalam Sukan Olimpik, kakitangan telah memilih untuk meletakkan jawatan."

Langkah dibuat selepas pengumuman oleh bintang Barcelona, Lionel Messi bahawa dia akan bersara daripada bermain untuk pasukan kebangsaan selepas kalah dalam Copa Amerika.

Lionel Messi, Gerardo Martino

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain