suria

Jonathan Tak Bimbang Virus Zika, Fokus Perbaiki Bidikan

Jonathan Wong.

PETALING JAYA: Atlet menembak negara, Johnathan Wong enggan terlalu memikirkan mengenai isu keselamatan dan virus Zika yang melanda Brazil ketika ini, sebaliknya ingin fokus untuk memperbaiki bidikannya sebelum berlepas ke Rio de Janeiro, Ogos ini.

Jonathan kini mengikuti latihan fasa akhir di Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon, Korea Selatan selama dua minggu bermula Sabtu lalu untuk memantapkan persediaannya dalam acara 10 meter Air Pistol.

"Saya tidak bimbang mengenai soal keselamatan dan virus Zika. Selagi kita ikut segala nasihat yang diberikan saya percaya kita akan selamat.

"Apa yang penting sekarang adalah berusaha mengekalkan prestasi konsisten. Jika momentum di lapangan dapat dikekalkan lagi bagus tapi kalau prestasi dapat ditingkatkan itu kira satu bonus," katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Mengenai isu keselamatan dan penularan virus Zika di negara tuan rumah itu, Johnathan yakin dengan persiapan rapi yang dilakukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam melindungi setiap atlet yang akan beraksi di Rio.

"Saya yakin MOM mahupun kerajaan Brazil sudah mengambil langkah berwaspada untuk menangani kedua-dua isu yang melanda negara itu. Semua atlet tidak perlu bimbang, kita harus patuh arahan yang diberikan semasa taklimat baru-baru ini.

"Tentang virus Zika, kita hanya boleh mencegahnya menerusi barangan pencegah nyamuk yang dibekalkan MOM. Jadi saya tidak begitu bimbang mengenainya," kata anak jati Melaka itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai latihan di Korea Selatan, atlet berusia 24 tahun itu berkata, setakat ini segalanya berjalan lancar dan menyifatkan ia sebagai pendedahan yang berguna kepada dirinya.

"Korea Selatan antara sebuah negara yang handal dalam acara ini. Jadi diberikan peluang menimba ilmu dengan atlet mereka merupakan bekalan berharga sebelum ke Rio.

"Oleh itu saya memilih untuk berada di sini. Saya harap latihan ini akan dapat membantu memperbaiki teknik tembakan, selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental," katanya.

Ditanya mengenai pencabar utamanya pada temasya itu, Johnathan mengakui sukar untuk membuat ramalan kerana acara ini memerlukan daya fokus dan konsistensi yang tinggi.

"Sukar untuk ramal kerana kadang-kadang atlet terkemuka pun boleh jatuh. Di sana nanti prestasi ada turun naik sebab dalam sukan menembak 'feeling' senang terjejas.

"Olimpik satu kejohanan besar, jadi saya dinasihatkan untuk sentiasa kekalkan prestasi. Bukan senang nak berbuat demikian tetapi akan cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Penembak elit negara itu melakar kejutan layak ke Sukan Olimpik Rio selepas muncul juara acara 10m air pistol individu lelaki pada Kejohanan Menembak Kelayakan Olimpik Asia di New Delhi, Februari lalu.

Untuk rekod Johnathan merupakan atlet menembak ketiga negara yang beraksi di Sukan Olimpik selepas Joseph Chong pada Sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956 dan Nur Suryani Mohamed Taibi pada Sukan Olimpik 2012 di London. 


Artikel Lain