suria

Chong Wei Mahu Jadikan Olimpik Rio Kenangan Terbaik

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mahu menjadikan penampilan beliau dalam temasya Sukan Olimpik sebagai satu kenangan terbaik dalam sejarah hidupnya.   

Pemain berusia 33 tahun itu berkata beliau akan berusaha sedaya upaya merealisasikan impian peribadi dan juga harapan negara untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik.   

"Ia bukan setakat impian saya seorang tetapi seluruh rakyat Malaysia, jadi saya harus membuat persediaan terbaik. Ini Olimpik terakhir saya," katanya kepada Bernama.   

Penampilan dalam temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, adalah yang keempat buat dirinya selepas kali pertama menyertai kontinjen negara di Athens, Greece pada 2004 dan diikuti Beijing, China (2008) serta London, England (2012).

Pada penampilan pertamanya di Athens, Chong Wei mengetepikan Ng Wei dari Hong Kong di pusingan pertama sebelum ditumpaskan oleh pemain China, Chen Hong di pusingan kedua.

Empat tahun berikutnya, beliau hampir menghadiahkan pingat emas pertama Olimpik kepada Malaysia selepas berjaya melangkah ke peringkat akhir yang berlangsung di Gimnasium University Teknologi Beijing, namun impian itu tidak kesampaian apabila beliau tewas 12-21 dan 8-21 kepada seteru tradisinya, Lin Dan dari China. 

Sementara di London, usaha menggapai pingat emas Chong Wei sekali lagi dihalang Lin Dan dan beliau sekali lagi terpaksa akur dengan pingat perak.   

"Fokus latihan saya akan lebih kepada persiapan secara mental dan juga fizikal. Ini Sukan Olimpik terakhir saya, jadi saya mahu lebih bersedia,"katanya.   

Selain menyimpan hasrat untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik, Chong Wei juga mahu menikmati kemeriahan temasya Sukan Olimpik yang sebelum ini tidak pernah dirasai beliau.   

Penghormatan dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang semasa majlis pembukaan rasmi temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada 5 Ogos ini akan di abadikan dalam catatan kenangan.

"Ini kali keempat saya menyertai Sukan Olimpik dan sebelum ini saya tidak pernah menghadiri majlis pembukaan rasmi kerana acara badminton selalu berlangsung dua atau tiga hari selepas pembukaan rasmi. Jadi saya terpaksa ketepikan soal majlis pembukaan rasmi dan berikan tumpuan kepada persediaan akhir menghadapi perlawanan.   

"Tapi kali ini di Rio, acara badminton bermula pada 11 Ogos, jadi saya tidak menolak pemilihan saya sebagai pembawa Jalur Gemilang. Kali ini, saya boleh merasai kemeriahan majlis pembukaan itu...ini Olimpik terakhir saya," katanya.

Menurut Chong Wei, ia akan menjadi satu kerugian kepada dirinya jika tidak pergi ke upacara pembukaan rasmi temasya sukan itu.

Pada kebiasaannya pembukaan rasmi sesebuah temasya sukan berlangsung secara gilang-gemilang dan tumpuan dunia akan diberikan kepada pembawa bendera kontinjen negara peserta ketika perarakan masuk atlet.

Pemain yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, itu juga menghargai penghormatan yang diberikan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai pembawa Jalur Gemilang.

"Ini satu penghargaan yang tidak ternilai. Rasa bangga bila dipilih membawa Jalur Gemilang," katanya. -Bernama

Lee Chong Wei, Sukan Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Lain