suria

Chong Wei Tidak Sertai Terbuka Taiwan

Lee Chong Wei.

PETALING JAYA: Seperti dijangka, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah menarik balik penyertaan pemain No.1 dunia, Lee Chong Wei daripada Terbuka Taiwan yang akan diadakan pada 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Chong Wei, 33, bergelut dengan kecederaan otot di kaki kirinya pada Terbuka Indonesia awal bulan ini.

Beliau kemudiannya menarik diri daripada menyertai Terbuka Australia dua minggu lalu.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost menjelaskan BAM tidak bersedia mengambil sebarang risiko terhadap Chong Wei terutamanya Sukan Olimpik di Rio akan bermula pada Ogos depan.

"Kami menarik balik penyertaannya kerana kami tidak pasti jika beliau bersedia untuk beraksi selepas kecederaan di Australia.

"Beliau meneruskan program latihan dan itu petanda yang baik buat kami. Kami juga dalam keadaan santai melakukan persiapan untuk Sukan Olimpik. Ia pasti membantu Chong Wei dari segi persiapan mental," katanya.

Tanpa Chong Wei, pemain No.2 dunia, Chen Long dari China kini merupakan pemain pilihan untuk menjuarai kejohanan itu.

Terdapat tujuh lagi pemain Malaysia iaitu Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Goh Soon Huat, Chong Wei Feng, Liew Daren, Goh Giap Chin, Tan Chun Seang dan Mohd Arif Abdul Latif yang beraksi dalam undian utama acara perseorangan lelaki.

Pemain No.32 dunia, Iskandar merupakan pemain pilihan ke-13 kejohanan dan diundi bertemu Cheng Long pada pusingan ketiga.

Lee Chong Wei, Terbuka Taiwan

Artikel Lain