PETALING JAYA: Skuad Bawah 14 Tahun Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bakal memulakan aksi pertama cabaran Jelajah Eropah, bermula Sabtu ini.
Edisi jelajah tahun ini menyaksikan pemain-pemain muda B-14 diberi peluang meraih pengalaman di peringkat antarabangsa membawa bersama ilmu-ilmu yang diajar oleh jurulatih-jurulatih PPBN sepanjang program ini dilancarkan sejak 2014.
Ternyata program Jelajah Eropah yang dijadikan sebagai program wajib tahunan PPBN memberi impak positif, seperti mana yang telah dibuktikan oleh barisan B-13 Tahun musim lalu.
Pun begitu, Pengarah Program PPBN, Lim Teong Kim sebelum ini berkata, dia tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dicapai pemain-pemainnya setakat ini.
"Seperti yang selalu saya beritahu kepada pemain, kemenangan adalah soal kedua.
"Bagi saya, apa yang penting semua pemain perlu tahu menyelesaikan masalah di padang dan sama membangun kemahiran dalam diri sendiri.
"Saya mahu melihat peningkatan dalam segala aspek dalam diri pemain," jelasnya kepada mStar Online baru-baru ini.
Bagi program jelajah tahun ini, Teong Kim telah memilih 25 pemain terbaik B-14 Tahun terbang ke beberapa negara Eropah bagi menghadapi perlawanan persahabatan terbaik di Eropah.
Selain Teong Kim, skuad muda B-14 ini ditemani tiga Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) berangkat ke Jerman pada Rabu lalu dan kini berada di Munich
Dalam masa yang sama, bukan sahaja pemain yang mengutip pengalaman baharu, sebaliknya KJRN juga berpeluang mencatat pengetahuan baharu sekaligus dapat dikongsikan dengan jurulatih-jurulatih program yang lain.
Pemain-pemain muda ini bakal berdepan dengan perlawanan persahabatan pertama menentang DFI Academy sebelum bertemu skuad muda Red Bull Salzburg pada Ahad nanti.
Tahun lalu, skuad B-13 Tahun menang bergaya 5-1 ke atas pemain akademi termoden di Eropah ini.
Jadual penuh perlawanan persahabatan Jelajah Eropah PPBN B-14 Tahun:
Jerman
28 Mei - DFI Academy
29 Mei - Red Bull Salzburg
Itali
31 Mei - Inter Milan
2 Jun - Novara Calcio
7 Jun - Juventus FC
8 Jun - U.S Cremonese
Switzerland
5 Jun - FC Lugano 20 Jun - FC Thun
22 Jun - BSC Young Boys
23 Jun - FC Bern
Perancis
14 Jun- AC Ajaccio
15 Jun - AS Monaco FC
17 Jun -Olympique Lyonnais


