suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tukar tabiat minum kopi kepada menu ini, badan memang bertenaga sepanjang hari

Pengambilan sumber protein semasa pagi sangat penting untuk tenaga sepanjang hari. -Gambar hiasan AI

MEMULAKAN pagi dengan secawan kopi sudah menjadi rutin ramai individu bagi menghilangkan rasa mengantuk dan mendapatkan tenaga sebelum melakukan aktiviti harian.

Tidak kurang juga yang memilih makanan tinggi karbohidrat atau minuman manis sebagai sarapan kerana dianggap mampu membekalkan tenaga dengan segera.

Namun menurut ahli farmasi, Nurhamizah Mohd Murshid, tubuh sebenarnya lebih memerlukan sumber protein selepas ‘berpuasa’ sepanjang malam.

Menerusi perkongsian di Threads, dia menjelaskan bahawa badan tetap bekerja biarpun seseorang tidur antara enam hingga sembilan jam.

"Sepanjang masa itu sebenarnya badan kita berada dalam fasa ‘overnight fasting’. Dalam keadaan kita tidur, badan tidak pernah berhenti bekerja.

Ramai yang beranggapan kafein dapat memberi tenaga. -Gambar hiasan AI

Ramai yang beranggapan kafein dapat memberi tenaga. -Gambar hiasan AI

"Jantung masih berdegup, otak masih aktif, kita masih bernafas dan badan akan membaiki sel-sel yang rosak. Semua proses ini memerlukan tenaga," jelasnya.

Menurut Nurhamizah, sepanjang tempoh seseorang tidak makan, tubuh akan menggunakan simpanan tenaga sedia ada untuk memastikan semua fungsi penting dapat diteruskan.

Keadaan itu dikenali sebagai fasa katabolik, iaitu ketika tubuh menggunakan nutrien yang tersimpan bagi membekalkan tenaga.

Atas sebab itu, seseorang mungkin bangun pagi dalam keadaan lapar, lesu dan kurang bertenaga.

Jelasnya lagi, pengambilan makanan selepas bangun tidur membantu tubuh beralih kepada fasa anabolik untuk membina semula bahan yang telah digunakan, membaiki tisu serta menghasilkan protein baharu.

Dalam proses tersebut, protein merupakan antara nutrien penting yang diperlukan tubuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kerap hilang fokus, ibu ganti kismis dengan dark chocolate... Hasil ‘eksperimen’ menjadi tapi ada syaratnya!

"Selepas berpuasa semalaman, otot kita lebih responsif terhadap protein dan tubuh akan lebih bersedia menggunakan asid amino daripada portein bagi tujuan pembaikan serta pembinaan tisu.

"Kajian mencadangkan pengambilan sekitar 0.25 hingga 0.4 gram protein bagi setiap kilogram berat badan dalam setiap hidangan untuk mengoptimumkan sintesis protein otot.

"Oleh itu, bagi kebanyakan orang dewasa dengan berat antara 50 hingga 60 kilogram, jumlah itu bersamaan kira-kira 15 hingga 20 gram protein untuk setiap hidangan," jelasnya.

Sehubungan itu, Nurhamizah menyarankan orang ramai agar tidak hanya memulakan pagi dengan kopi atau makanan berkarbohidrat tinggi.

Sebaliknya, utamakan sumber protein seperti telur, susu, yogurt, ayam, ikan, tauhu atau tempe dalam hidangan pertama pada waktu pagi.

Tambahnya, pengambilan protein boleh membantu seseorang berasa kenyang lebih lama, menstabilkan tenaga serta mengurangkan rasa lemah atau sengal badan selepas bangun tidur.

Artikel Lain