suria

Karektor Pemain Faktor Kejayaan JDT - Gomez

Pasukan Johor Darul Takzim (JDT), menjuarai Piala FA selepas menewaskan pasukan PKNS FC dengan jaringan 2 - 1 pada perlawanan akhir Piala FA 2016 di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

SHAH ALAM: Karektor yang ditunjukkan oleh pemain sepanjang aksi final telah memacu kejayaan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala FA di Stadium Shah Alam di sini, Sabtu malam.

Ketua jurulatihnya, Mario Gomez berkata usaha pemain yang tidak berkesudahan walaupun beraksi dalam keadaan hujan lebat terutama dalam babak kedua terbukti penting bagi kejayaan pasukan itu.

Beliau mengakui pemainnya telah melakukan kesilapan dengan memberi ruang kepada PKNS FC menjaringkan gol awal tetapi gembira kerana mereka berjaya mengawal tekanan.

"Memang, kami gagal menyempurnakan banyak peluang pada babak kedua tetapi saya gembira dengan kemenangan ini. Bagi diri saya, kadang-kadang boleh menjaringkan gol dan sebaliknya...ia semua bergantung kepada situasi," kata jurulatih warga Argentina pada sidang media selepas perlawanan itu.

Pada aksi final, PKNS FC membuka jaringan seawal minit keenam menerusi sepakan penalti oleh Gabriel Miguel Guerra sebelum JDT menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh kapten Safiq Rahim pada minit ke-16.

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, Jorge Pereyra Diaz menghadiahkan gol kemenangan JDT pada minit ke-35.Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan mengakui kesilapan pemain yang banyak melakukan kekasaran ke atas pemain lawan menjadi punca mereka kalah pada perlawanan tersebut.

Beliau menjelaskan pemain gagal mengekang asakan bertali arus jentera serangan JDT sehingga membolehkan skuad Harimau Selatan bangkit mencatat kemenangan. 

"Mendapat gol awal itu bagus tetapi pemain tertekan dengan gerakan JDT dan melakukan kesilapan sehingga memberikan penalti.

"Untuk gol kedua, saya tak pasti sama ada perlawanan patut diteruskan atau dihentikan kerana sepakan percuma diambil ketika pemain belum bersedia, bagaimanapun kita terima keputusan pengadil,"jelas Elavarasan.-- Bernama



Mario Gomez, JDT, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Lain