suria

Cabaran Skuad Piala Thomas Bermula Hari Ini

Pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei memeriksa raketnya ketika latihan bagi menghadapi Kejohanan Piala Thomas di Kompleks Sukan Kunshan, Sabtu. Pasukan Piala Thomas negara berada dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan German. -fotoBERNAMA
KUNSHAN (China): Misi skuad badminton negara pada pusingan akhir Piala Thomas 2016 yang bermula Ahad adalah untuk berjuang habis-habisan sepanjang kejohanan itu.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata skuad negara harus beraksi sebagai satu pasukan dan mengekalkan semangat berpasukan bagi mendepani cabaran.

Beliau bagaimanapun tidak terlalu optimistik mengenai peluang Malaysia pada pertandingan dwitahunan itu kerana menganggap cabaran Piala Thomas adalah menarik dengan setiap pasukan mempunyai peluang untuk menjulang piala berprestij itu.

"Pada cabaran Piala Thomas, saya berharap Malaysia akan beraksi dengan cemerlang," kata beliau pada sidang media di sini, Sabtu menjelang perlawanan mementang England dalam Kumpulan C, Ahad.

Skuad negara akan bertemu Jerman pada Isnin sebelum mengakhiri perlawanan kumpulan menentang Korea Selatan pada hari berikutnya.

Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei akan menggalas cabaran negara dengan dibarisi juara kebangsaan Iskandar Zulkarnain, pemenang pingat emas Sukan SEA, Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat dalam acara perseorangan.

Turut menggalas cabaran ialah beregu veteran Koo Kien Keat/Tan Boon Heong sebagai beregu kedua dan beregu utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong sementara Teo Ee Yi/Ong Yew Sin beraksi pada Piala Thomas buat julung kali.

Dalam edisi Piala Thomas yang lepas di New Delhi, India, dua tahun lalu, Malaysia berjaya mengharungi cabaran untuk melangkah ke final sebelum tewas 3-2 kepada Jepun.

Juara bertahan Jepun berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah China, Perancis dan Mexico.

Kumpulan B terdiri daripada Indonesia, India, Thailand dan Hong Kong sementara Kumpulan D pula terdiri daripada Denmark, Taiwan, New Zealand dan Afrika Selatan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Antara pemain terkenal yang beraksi pada kejohanan kali ini ialah Lin Dan dan Chen Long mewakili China, Lee Yong Dae (Korea Selatan), Kenichi Hayakawa dan Ayaka Takahashi (Jepun), Viktor Axelsen (Denmark), Rajiv Ouseph (England) dan Saina Nehwal (India).

Dalam saingan Piala Uber, Frost mengakui juara bertahan China sebagai pencabar utama dan berharap skuad negara layak ke suku akhir.

Skuad Piala Uber negara memikul tugas berat apabila berada dalam Kumpulan A bersama China, juara Eropah Denmark dan Sepanyol.

Skuad Piala Uber mengandungi Goh Liu Ying sebagai ketua pasukan, Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Soniia Cheah dalam acara perseorangan dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Amelia Anscelly dalam acara beregu.
Skuad wanita negara juga akan memulakan kempen dengan menentang China esok.

Skuad Piala Thomas China yang tewas kepada Jepun di separuh akhir pada edisi lepas boleh menarik nafas lega dengan ketiadaan bintang Jepun,  Kento Momota yang digugurkan bulan lepas akibat masalah disiplin kerena terbabit dalam skandal perjudian.

"Kami berasa amat tidak selesa kerana kami selalu berada di tangga teratas.
Dua tahun ini, kami telah banyak berubah dengan memperkenalkan teknik dan strategi dan kami sudah bersedia untuk segala-galanya.

"Sekarang, kami turun ke sini dengan hanya satu matlamat untuk merampas kembali Piala Thomas," kata ketua jurulatih China, Li Yongbo.

Skuad lelaki China menjulang Piala Thomas lima kali berturut-turut sebelum tunduk kepada Jepun sementara skuad wanita telah merangkul lapan daripada sembilan gelaran dalam Piala Uber.

Ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong mengakui mereka telah menurunkan pasukan yang sangat lemah berbanding pasukan sebelumnya pada 2014 tetapi masih optimistik bahawa pasukan Piala Thomas akan layak ke separuh akhir.

"Kali ini kami menyenaraikan barisan pemain yang lemah untuk Piala Thomas dan sukar bagi kami untuk mempertahankan kejuaraan.

"Tetapi bagi Piala Uber, kami mempunyai pasukan yang seimbang dan kami akan cuba muncul juara kali ini," kata beliau.

Bagi Piala Uber, Jepun diundi dalam Kumpulan D bersama India, Australia dan Jerman dan akan memulakan cabaran berdepan Jerman pada Isnin.

Artikel Berikut

Artikel Lain