suria

Hujan Tak Halang Penyokong JDT Serbu Stadium Shah Alam

SHAH ALAM: Lautan biru penyokong-penyokong Harimau Selatan mula kelihatan sebaik sahaja hujan lebat reda di Stadium Shah Alam pada Sabtu petang.

Penyokong-penyokong setia  Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat tiba di stadium dengan menaiki beberapa buah bas khas selain memandu kenderaan sendiri bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka yang bakal bertemu skuad PKNS FC dalam final Piala FA bermula pukul 9 malam ini.

Mohd Heree dari Batu Pahat yang tiba di sini bersama sembilan orang ahli keluarganya teruja untuk melihat lebih dekat pasukan JDT beraksi di pentas akhir ini.

"Saya dah mohon cuti untuk esok (Ahad) semata-mata untuk datang ke Shah Alam bagi menyokong JDT. 

"Sebaik sahaja JDT sah ke final, kami sudah bersiap sedia untuk mendapatkan tiket apabila kaunter jualan dibuka pada 9 Mei lalu.

"Demi Harimau Selatan, kami sanggup beratur lebih kurang tiga jam, dan ianya berbaloi kerana semua ahli keluarga berjaya membeli tiket akhir ini," jelasnya kepada mStar online.



Malah isterinya, Noraini Yusof yang juga peminat setia JDT memberitahu dia bersama ahli keluarga yang lain tidak pernah terlepas melihat aksi pasukan ini di Stadium Larkin sebelum ini.

"Saya harap pasukan kami akan menang malam ini dengan keputusan 2-1. Malah ingin melihat kapten, Safiq Rahim menjaringkan gol," katanya.

Mohd Heree,33 sanggup mengeluarkan perbelanjaan menyewa sebuah apartment di Seksyen 14 di sini bagi memberi keselesaan kepada ahli keluarganya sepanjang berada di bandaraya ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain