suria

Samoura Wanita Pertama Dilantik Setiausaha Agung FIFA

Fatma Samba Diouf Samoura.

FATMA Samba Diouf Samoura dari Senegal merupakan wanita pertama dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau menggantikan tempat Jerome Valcke yang dilarang menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 tahun.

Samoura, 54, mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan memulakan tugasnya bersama FIFA pada Jun ini.

"Adalah penting bagi FIFA untuk menggabungkan perspektif baharu ketika kami terus membina semula organisasi ini.

"Beliau membuktikan keupayaannya untuk membina dan mempimpin pasukan serta meningkatkan cara pentadbiran sesebuah organisasi.

"Penting bagi FIFA, beliau juga memahami bahawa ketelusan dan akauntabiliti menjadi keutamaan dalam mana-mana pengurusan dan organisasi bertanggungjawab," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Pelantikan Samoura diumumkan dalam kongresi FIFA di Mexico City sekali gus melengkapkan wajah baharu bagi organisasi itu yang diselubungi dakwaan rasuah ketika dibawah pentadbiran Valcke dan bekas presidennya, Sepp Blatter.

Blatter yang mengemudi FIFA sejak 1998 akhirnya meletak jawatan pada tahun lalu dan kemudiannya digantung daripada menyertai aktiviti bola sepak selama enam tahun kerana melanggar garis panduan etika.

Samoura yang akan menjalani pemeriksaan kelayakan sebelum memulakan tugasnya, sedang berkhidmat untuk PBB di Nigeria dan mahir bertutur dalam empat bahasa.

Beliau memulakan kariernya bersama PBB sebagai seorang pegawai kanan logistik dalam Program Makanan Dunia di Rome pada 1995.

Sejak itu beliau berkhidmat sebagai wakil negara atau pengarah di enam negara Afrika termasuk Nigeria.

"Hari ini adalah detik terindah buat saya dan saya amat berbesar hati untuk menggalas tugas ini.

"Peranan ini adalah bersesuaian dengan kemahiran dan peranan saya - strategik, membina sebuah pasukan berimpak tinggi dalam tetapan antarabangsa yang saya akan gunakan untuk membantu pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

"Saya juga berharap dapat menggunakan pengalaman saya dalam tadbir urus dan pematuhan untuk membincangkan mengenai kerja-kerja pembaharuan penting yang telah dilaksanakan FIFA," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain