suria

Pengganti Devan Diketahui Petang Ini - Annuar

PETALING JAYA: Pengganti pengendali pasukan Kelantan, K Devan yang meletak jawatan pada Rabu akan diumumkan petang Khamis.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata, calon sesuai untuk menggalas tugas tersebut akan diumumkan dalam satu sidang media di Menara Mara, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.45 petang Khamis.

Beliau turut mendedahkan Devan meletak jawatan selepas berbincang dengan Kafa mengenai perkara tersebut beberapa minggu lalu.

"Kita mengucapkan ribuan terima kasih atas khidmat beliau. Devan seorang yang dedikasi dan jujur.

"Kedatangannya ke Kelantan dengan ikhlas mahu cuba membantu dgn terma yang paling ringan.

"Beliau juga mengundur diri secara baik dan penuh hormat selepas beliau secara peribadi merasakan beliau telah berusaha sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya pada Khamis.

Jelas Annuar lagi, Devan pernah menangguhkan hasratnya untuk meletak jawatan beberapa kali bagi memberi peluang kepada Kelantan untuk melakukan persiapan.

"Terima kasih Devan dan pengganti ketua jurulatih Kelantan akan diumum petang ini," katanya.

Pada Rabu, Devan dilaporkan menghantar surat peletakan jawatannya atas alasan peribadi.

Difahamkan ketua jurulatih berusia 55 tahun itu berhadapan keadaan sukar untuk memulihkan prestasi terumbang ambing skuad Kelantan ketika ini.

Lebih memburukkan keadaan, Kelantan kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan mengutip 12 mata daripada 10 perlawanan.

K Devan, pengganti, Annuar Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain