suria

Dua Atlet Angkat Berat Gagal Ujian Doping Diberi Penjelasan

Ahmad Shapawi Ismail (kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemenang pingat gangsa sukan SEA 2015, Grace Wong Xiu Mei mewakili atlet negara pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2016 di pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Khamis. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Dua atlet angkat berat yang gagal ujian doping telah diberi penjelasan secukupnya mengenai kepentingan menguji sampel B, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata pihaknya sudah berjumpa dengan kedua-dua atlet terbabit dan terpulang kepada mereka bagi membuat keputusan tersebut.

"Ujian dadah ini banyak bergantung kepada individu tersebut untuk membuat penafian atau pengakuan dan sebagainya, itu hak mereka. Kita sudahpun berbincangdan berikan segala pandangan selepas mendengar daripada mereka apa yang berlaku. Terpulang kepada mereka untuk mengambil keputusan mengenai tindakan selanjutnya.

"Setakat ini, kita masih gantung mereka daripada program 'Kita Juara', mereka tidak akan dapat apa-apa faedah atau pakej yang disediakan dalam program berkenaan," katanya pada sidang media selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Kejohanan Remaja Asia Tenggara 2016 di MSN, Rabu.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) pada Jumaat lepas, mengesahkan dua atlet elit angkat berat negara gagal ujian doping yang dikendalikan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas).

Salah seorang dilaporkan positif methandienone, manakala sampel air kencing seorang lagi mengandungi nandrolone, di mana kedua-dua bahan itu dikategorikan sebagai steroid dan dilarang penggunaannya sepanjang masa termasuk di luar musim pertandingan.

Berikutan itu, PABM telah mengeluarkan surat kepada kedua-dua atlet terbabitdan mereka diberi tempoh dua minggu untuk menjawab mengenai keputusan positif sampel A.   

Kedua-dua atlet tersebut yang telah berada di China sebagai persiapan untuk Kejohanan Asia di Uzbekistan, juga digantung sementara daripada program 'Kita Juara' yang diperkenalkan dalam misi Malaysia untuk muncul juara Sukan SEA 2017.   

Atlet angkat berat negara Mohd Hafifi Mansor, Mohd Zulhelmi Md Pisol, Muhammad Azroy Hazalwafie Izsar Ahmad, Loro Welkinson, Mohd Fazrul Azri, Aznil Bidin, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan merupakan antara yang telah berada di China.

Kejohanan itu penting kerana menawarkan tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Riode Janeiro, Brazil pada Ogos depan.   

Kejohanan itu yang berlangsung dari 22 hingga 30 April, menawarkan slot ke Olimpik kepada enam pasukan terbaik dan atlet yang beraksi pada pertandingan itu turut berpeluang layak dalam kategori individu jika memenangi pingat.

Untuk rekod, pada November lepas, Mohd Azril Huzairi Ramli yang juga pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis, digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas positif D-methamphetamine manakala pada 2014, Jelinie Empera digantung dua tahun selepas positif anabolic steroid ketika Sukma Perlis. -Bernama

Artikel Lain