suria

Bekas Atlet Olahraga D. Nadarajan Meninggal Dunia

Aksi D. Nadarajan (kiri) pada perlumbaan akhir acara 200 meter Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada tahun 1996.Foto: CHIN CHENG YEANG/The Star

ALOR SETAR: Bekas atlet kebangsaan D. Nadarajan, 41, yang pernah mengharumkan nama negara setelah merangkul pingat emas bagi acara 4x 400 meter pada Sukan SEA 1997 di Jakarta, meninggal dunia pagi Rabu akibat kegagalan buah pinggang.

D. Kavita, 38, berkata abangnya meninggal dunia kira-kira pukul 10.10 pagi tadi setelah dua hari dimasukkan ke Hospital Kulim akibat demam panas.

"Sebelum itu dia demam panas sehingga 41 darjah celsius. Kemudian semalam dia tidak sedarkan diri dan sebelah malam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Doktor memaklumkan mendiang juga mengalami kegagalan buah pinggang, yang mana kami tidak pun tahu selama ini," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Kavita berkata mereka sekeluarga amat terasa kehilangan mendiang, lebih-lebih lagi pemergiannya hanya 10 hari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya pada 10 April. 

Upacara pengurusan mayat akan diadakan di kediamannya di No 757, Lorong 9/2A, Taman Tenari, Kulim esok sebelum dikebumikan di Jalan Tiram, Butterworth.

Mendiang meninggalkan seorang balu D. Shamala, 37, dan dua anak lelaki serta dua perempuan berusia 10 hingga 15 tahun.

Mendiang sebelum ini terpaksa menggunakan kerusi roda apabila menderita kecederaan saraf dan hilang mata pencarian setelah ditimpa kemalangan pada 2007, yang turut memaksanya menjalani pembedahan otak.  

Mendiang mengalami kecederaan di bahagian kanan kepala akibat terkena serpihan besi apabila sebiji tayar yang sedang dipamnya di bengkel tempat kerjanya meletup sehingga mendiang tidak boleh berjalan dan menguruskan diri sendiri.  

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata KOM akan melawat keluarganya dalam masa terdekat.  

"Beliau (Nadarajan) atlet perendah diri dan pendiam. Dia telah memberi sumbangan kepada negara dan kita hargainya," kata Karim.  

Nadarajan turut menyumbangkan pingat perak pada Sukan SEA 1997 dalam acara 400m apabila mencatatkan 47.74s, di belakang seorang lagi pelari negara, Romzi Bakar yang mencatatkan 47.13s. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain