suria

PBSNT Diarah Kemuka Laporan Kepada Kerajaan Negeri

Rozi Mamat

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diarah mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri dengan segera berikutan kemerosotan prestasi pasukan negeri itu dalam Liga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata laporan itu perlu dikemukakan selewat-lewatnya Khamis.

Beliau berkata laporan berhubung prestasi skuad Penyu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco minggu depan.

"Meskipun amaran sudah diberi, mutu permainan yang ditunjukkan pemain amat mengecewakan malam tadi.

"Kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco hari ini membuat keputusan agar PBSNT segera menghantar laporan mengenai apa masalah sebenar yang melanda pasukan itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, Rabu.

Beliau berkata jika prestasi skuad Terengganu masih tidak menunjukkan peningkatan, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengkaji semula dari segi kos pelaburan kepada pasukan itu, musim depan.

Katanya kerajaan negeri juga berkemungkinan mengekalkan hanya sebuah pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan, berbanding dua pasukan sekarang -Terengganu FA dan pasukan berstatus kelab, T-Team.

"Saya sentiasa tekankan apa yang dilaburkan itu biarlah pulangannya setimpal kepada kerajaan dan rakyat khususnya peminat bola sepak Terengganu.

"Tahun depan, kita akan lihat, kemungkinan mengkaji semula kewajaran kita untuk kedua-dua pasukan ini.

"Kita mahukan pasukan terbaik, kalau dua pasukan (Terengganu dan T-Team) tidak bagus, kita akan hanya bentuk sebuah pasukan yang kuat. Kalau prestasi T-Team bagus, kita akan kekalkan pasukan ini," katanya.

Pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus Selasa malam, skuad Penyu sekali lagi dirundung malang apabila tewas kepada Perak 2-3. 

Kekalahan itu adalah ketiga berturut-turut dialami skuad Penyu yang sebelum ini tewas kepada Felda United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Dalam pada itu, Rozi berkata setiap tahun, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM20 juta bagi pasukan Terengganu, manakala T-Team menerima peruntukan lebih kurang RM10 juta.

Beliau juga menggesa agar PBSNT segera mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam usaha menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan Terengganu, sejaka khir-akhir ini.

Ditanya sama ada pengurusan dan pasukan Terengganu bakal dirombak ekoran kemerosotan prestasi skuad itu, beliau berkata kerajaan negeri tidak boleh campur tangan dalam urusan tersebut, dan menyerahkan kepada PBSNT bagi menanganinya. -Bernama

PBSNT, Datuk Rozi Mamat

Artikel Lain