suria

Muhd Ariff Farhan 'Aset' Bernilai Skuad Helang Merah

DISEBALIK kesebelasan utama pasukan Kedah pada musim ini sebenarnya terselit sebutir 'permata' yang lama menyinar tetapi tidak menjadi perhatian pelbagai pihak.

'Permata' yang dimaksudkan ialah pemain berusia 20 tahun iaitu Muhd Ariff Farhan Mat Isa.

Kemampuan pemain tengah dan pertahanan kanan ini agak menakjubkan apabila dia menjadi tonggak penting untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Kebolehan pemain ini bukan baru dicungkil, tetapi dia telah berada dalam skuad Bawah 23 Tahun Malaysia (Harimau Muda A) sejak berusia 16 tahun.

Anak kepada pesara anggota tentera ini merupakan pemain termuda dalam pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika itu.

Malah dia juga antara pemain yang mewakili MSS Kedah ketika menentang Manchester United dalam Piala Perdana kelab gergasi England itu pada 2010.

Muhd Ariff Farhan (kanan) ketika berada di Old Trafford, Manchester.


"Ketika berumur 16 tahun saya dipanggil mewakili pasukan Harimau Muda A. Waktu itu saya adalah pemain paling muda berbanding dengan yang lain kerana mereka berusa 20-an.

"Tetapi saya tidak mahu mengalah dan terus mencabar mereka untuk berada dalam kesebelasan utama negara," katanya kepada mStar Online.

Ketika mewakili skuad Harimau Muda A pada 2012 hingga 2015, Muhd Ariff Farhan menjaringkan tiga gol daripada 27 penampilan.

Kini dia dipanggil untuk membantu skuad Sukan SEA 2017 yang sedang rancak melakukan persiapan.

"Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama Kedah ketika ini walaupun bermula sebagai pemain simpanan dalam perlawanan pertama saingan Liga Super.

"Perjuangan bersama Kedah bukan untuk diri sendiri tetapi demi keluarga termasuk abang saya iaitu Muhd Fiqry Mat Isa yang merupakan bekas pemain Kedah.

"Abang saya terpaksa melupakan kariernya bersama pasukan ini kerana kecederaan lutut. Doktor menasihatkan dia untuk tidak lagi bermain bola sepak secara profesional berikutan kecederaan itu," luahnya.

Muhd Ariff Farhan menambah, kejayaannya berada dalam kesebelasan utama Kedah dan negara ketika ini adalah hasil sokongan dan restu seluruh keluarganya.

"Kedah adalah pasukan yang saya minat sejak kecil, oleh itu saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan kejayaan buat pasukan hijau kuning.

"Pada masa sama saya juga perlukan banyak tunjuk ajar daripada rakan sepasukan dan barisan jurulatih," ujarnya.


Aksi memukau Muhd Ariff Farhan ketika mewakili negara.

Artikel Sebelum

Jose Mourinho Pilihan PSG

Artikel Lain