suria

Lawan Pasukan Ranking Rendah Bantu Baiki Kedudukan - Kim Swee

Ong Kim Swee.

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mempertahankan keputusan untuk mengadakan aksi persahabatan dengan tiga pasukan yang menduduki ranking dunia lebih rendah berbanding negara ini selepas aksi play off kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste Jun depan.

Beliau berkata pasukan kebangsaan akan bertemu Papua New Guinea pada 17 Jun, New Caledonia (22 Jun) dan Fiji, 26 Jun depan dengan ketiga-tiga perlawanan diadakan di gelanggang lawan.

"Memang ada yang mempertikaikan mengapa kita bertemu tiga lawan yang lebih rendah ranking mereka berbanding kita.

"Namun semua  perlu faham, skuad Harimau Malaysia dalam proses membina semula keyakinan, reputasi pasukan dan juga mendapatkan rentak kemenangan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM di sini Khamis.

Menurut Kim Swee, ketiga-tiga aksi persahabatan Kelas A menentang pasukan dari Oceania itu amat penting untuk menguji prestasi pemain selain negara memerlukan kemenangan dalam usaha memperbaiki ranking negara.

"Rancangan kami mengatur aksi persahabatan ini bukan semata-mata untuk menang tetapi bertujuan memperbaiki ranking negara," katanya.

Malaysia kini menduduki ranking ke-174 dunia berbanding 166 Mac lalu berikutan tewas 0-2 kepada Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Selain itu, keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-190 dunia, Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka 28 Mac lalu, turut menjadi faktor kemerosotan ranking anak buah Kim Swee.

Kedudukan terbaharu itu meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara yang tidak mempunyai kemudahan bola sepak yang lengkap seperti Samoa (170), Timor Leste (175), Bangladesh (177) dan Nepal yang berada di kedudukan ke-179.

Sementara itu, Kim Swee berkata pasukan kebangsaan sudah mengesahkan perlawanan persahabatan menentang Myanmar di Yangon pada 28 Mei ini sebagai persediaan menghadapi Timor Leste pada aksi play off kelayakan Piala Asia  2019, 2 dan 7 Jun depan di Stadium Larkin, Johor Baru.

"Bukan mudah nak atur aksi persahabatan kerana kebanyakan negara mempunyai komitmen lain dalam tempoh tersebut. Sebagai contoh kita sepatutnya beraksi menentang Oman pada Mei tetapi mereka ada kekangan pada saat akhir," katanya.

Menurut beliau, pasukan kebangsaan memerlukan satu perlawanan persabahatan sebelum bertemu Timor Leste dan Myanmar yang berada di kedudukan 166 dunia dianggap pasukan sesuai untuk menguji kemampuan pemain.

"Pertemuan itu tidak mudah tetapi saya memerlukan aksi persahabatan sebelum menentang Timor Leste. Sudah pasti saya tidak akan menurunkan pemain Selangor dan Johor Darul Ta'zim selama 90 minit ketika bertemu Myanmar jika kedua-dua pasukan layak ke pusingan kalah mati kedua Piala AFC 2016," katanya.

Pada masa sama, Kim Swee turut mengakui skuad kebangsaan negara berdepan krisis ketumpulan di bahagian jentera serangan yang serius.

"Seperti yang kita lihat, saya boleh katakan ia (ketumpulan) serius di mana penyerang tidak menjaringkan gol," katanya.

Namun beliau yakin krisis tersebut akan diselesaikan jika pemain didedahkan dengan lebih banyak perlawanan liga dan antarabangsa selain menjalani latihan secara berterusan.

"Apa yang penting dalam aksi menentang Myanmar kita perlu pemain untuk jaringkan gol. Sudah tentu bukan sahaja penyerang yang mampu menjaringkan gol tetapi pemain tengah juga boleh, tiada siapa tahu ia boleh berlaku," katanya.

Harimau Malaysia, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain