suria

Dua Pertemuan Harimau Malaysia-Timor Leste di Larkin - FAM

PETALING JAYA: Harimau Malaysia dilihat mempunyai kelebihan untuk memenangi kedua-dua perlawanan play off kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste pada 2 dan 7 Jun depan kerana pertemuan tersebut diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baru.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pertemuan play off kedua dijadualkan diadakan di Stadium Perbandaran Dili, Timor Leste pada 7 Jun depan.

Namun, jelasnya, pihaknya menerima permohonan daripada Presiden Persekutuan Bola Sepak Timor Leste Francisco Kalbuadi Lay untuk mengadakan aksi timbal balik di negara ini berikutan kemudahan infrastrukur di negara itu yang kurang memuaskan.

"Saya telah dihubungi Francisco sebentar tadi (semalam) memaklumkan kepada saya secara lisan perlawanan kedua juga akan diadakan di Larkin.

"Jadi pihak Timor Leste akan menghantar surat kepada Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mendapatkan kelulusan sebelum dimuktamadkan, namun secara lisan presiden dah setuju kalau ini," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM di sini Khamis.

Jelas beliau lagi, permohonan itu masih belum dimuktamadkan dan sekiranya ia terjadi maka 2 dan 7 jun nanti kedua-dua perlawanan akan diadakan di Larkin.

Ketika ditanya mengenai pemilihan Stadium Larkin, Hamidin berkata ia merupakan siri jelajah skuad kebangsaan ke seluruh negara ketika menghadapi perlawanan di dalam negara selain memberi peluang kepada penyokong untuk mendekati pemain Harimau Malaysia.

"Pada awal tahun ini, kita dah rancang untuk adakan setiap perlawanan membabitkan skuad kebangsaan di setiap negeri. Kita dapat respons yang baik di kalangan ahli gabungan FAM.

"Sebelum ini skuad kebangsaan bertemu Macau di Stadium Hang Jebat Melaka. Selepas ini mereka ke Larkin sebelum ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia Datuk Ong Kim Swee mengakui walaupun pasukan kebangsaan mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri, Timor Leste pastinya akan memberi tentangan yang sengit.

"Ini tidak bermakna laluan kita mudah. Kita harus sediakan pasukan yang mantap kerana Timor Leste kurang traveling dan pastinya akan menurunkan pasukan yang hebat.

"Namun dengan kehadiran penyokong di Larkin diharap akan beri suntikan semangat untuk kita capai kejayaan pada pertemuan itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain