suria

FAM Tidak Mahu Debat Disiar Secara Langsung

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengalu-alukan cadangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengadakan perbahasan mengenai prestasi hambar pasukan Harimau Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau bagaimanapun tidak mahu perbahasan itu dilakukan secara terbuka dan disiarkan secara langsung.

Sebaliknya, beliau mahu ia lebih kepada sesi perbincangan dalam mencari jalan terbaik untuk meningkatkan mutu bola sepak pasukan kebangsaan.

"Saya tak fikir maksud Tunku Ismail untuk berdebat mencari siapa salah siapa benar. Saya rasa beliau inginkan perbincangan dengan semua pihak untuk cari jalan bantu pasukan kebangsaan.

"Itu pendapat saya. FAM sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak untuk menaikkan mutu permainan skuad kebangsaan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan negara di Wisma FAM di sini, Khamis.

Pada masa sama, Hamidin turut bersetuju dengan pendapat Tunku Ismail bahawa program pembangunan akar umbi perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan, persatuan bola sepak negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Ketiga-tiga pihak ini perlu saling membantu kerana FAM kumpul pemain terbaik untuk bertanding di peringkat antarabangsa. 

"Semua pemain dilahirkan ahli gabungan (persatuan bola sepak negeri), kepentingan pembangunan negeri dan kelab adalah mustahak, jadi FAM dan negeri kena kerja keras untuk lahirkan lebih ramai pemain berkualiti " katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee turut tidak bersetuju debat tersebut disiarkan secara langsung kerana perkara lebih penting adalah input semasa perbincangan tersebut.

"Sama ada jujur ataupun tidak. Kalau jujur tak payah kita risau sama ada (diadakan) secara tertutup atau terbuka. 

"Yang penting di sini semua pihak harus beri kerjasama secara jujur membangunkan bola sepak kita," katanya.

Jelas beliau, debat bukanlah jalan terbaik untuk mendapatkan kepastian tentang punca kemerosotan pretasi pasukan ataupun mencari kesalahan pemain.

"Ini bukan caranya. Saya yakin Tunku Mahkota Johor inginkan perbincangan kerana ia penting untuk pembangunan akar umbi," katanya.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada pagi Rabu, Tunku Ismail mencabar supaya satu perbahasan diadakan bagi mengupas dengan lebih mendalam masalah kemerosotan bola sepak negara dan pihak yang perlu bertanggungjawab.

Katanya, beliau sendiri akan turut serta dalam debat itu bersama beberapa individu penting arena bola sepak negara dan beliau menyarankan ia disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Astro.

Setakat ini, Khairy, Sathianathan dan Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim antara yang mengesahkan untuk menyertai debat berkenaan.

FAM, TMJ, Debat

Artikel Berikut

Artikel Lain