suria

Nasib Jurulatih Pulau Pinang Diketahui Bulan Depan

PETALING JAYA: Jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F Tiago yang 'direhatkan' sejak minggu lalu gara-gara aksi hampar pasukan tersebut sejak kebelakangan ini diberi tempoh sebulan untuk menyiapkan laporan berkenaan tugasnya.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd Azizuddin Shariff  berkata, status Tiago masih sebagai jurulatih pasukan walaupun telah direhatkan untuk sementara waktu.

"Tiago telah diberi surat rasmi mengenai status 'rehatnya' itu bagi memberi beliau masa untuk menilai dan membuat laporan penuh ketika mengendalikan skuad ini.

"Kami belum membuat sebarang keputusan yang muktamat dan tempoh ini, Tiago diberi masa untuk melengkapkan cadangan serta laporan sebelum dibentangkan kepada pihak pengurusan pada satu tarikh yang akan ditentukan.

"Selepas melihat laporan itu, baharulah kami akan membuat keputusan yang wajar," jelas Mohd Azizuddin yang juga merupakan pengurus skuad Harimau Kumbang.

Selasa lalu, Tiago diarah 'berehat' selepas skuad bimbingannyatewas 1-2 kepada Sarawak di gelanggang sendiri.

Susulan kekalahan itu, sekumpulan penyokong skuad Harimau Kumbang berhimpun di luar stadium mendesak peletakan jawatan Tiago. 

Selepas tujuh perlawanan, Pulau Pinang menduduki tangga kesembilan dengan memungut enam mata menerusi satu kemenangan, tiga tewas dan tiga seri. 

Tugas bekas pengendali skuad kebangsaan Indonesia itu kini diambil alih oleh Manzoor Azwira Abd Wahid.

Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan penjelasan bekas jurulatih Persipura Jayapura itu gagal dihubungi.

Jacksen F Tiago, Pulau Pinang, FAP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain