suria

Insiden Baling Batu: Penyokong P.Pinang Perlu Hormat Pasukan Lawan

-fotoKOSMO

PETALING JAYA: Pengurus pasukan bola sepak Pulau Pinang, Mohd Azizudin Mohd Shariff menasihatkan penyokong negeri itu supaya bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi di media sosial susulan insiden bas dinaiki skuad Harimau Kumbang dibaling batu selepas perlawanan di Alor Setar, Kedah pada malam Sabtu.

Mohd Azizudin berkata, menjaga tingkah laku dan hak orang lain yang berada di tempat mereka perlu demi menjaga maruah bola sepak.

"Berilah ruang kepada mana-mana penyokong pasukan pelawat yang akan bertandang ke Pulau Pinang untuk dapat menyaksikan perlawanan dalam keadaan dan suasana selesa seperti mana yang kita inginkan ketika bermain di luar.

"Juga, hormati lagu rasmi pasukan pelawat andai kata ia berkumandang secara rasmi ataupun dinyanyikan olah pasukan sorak mereka," katanya menerusi kenyataan media, Ahad.


Mohd Azizudin Mohd Shariff

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kejadian bas yang dinaiki pemain dan pegawai pasukan bola sepak Pulau Pinang dibaling batu tidak lama selepas ia meninggalkan Stadium Darul Aman setelah tamat perlawanan saingan Liga Super 2016, malam Sabtu. Perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu yang menyebabkan bas tersebut mengalami kerosakan teruk dan jurulatih penjaga gol Pulau Pinang, Maquinshop Domingues Prep cedera di tangan.

Mohd Azizudin berkata, FAP menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan lanjut.

Katanya, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dengan menyerahkan beberapa bukti yang diperolehi daripada saksi-saksi di tempat kejadian dalam insiden tersebut.

"Untuk makluman semua, wakil Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) juga ada menghubungi FAP untuk mendapatkan gambaran awal kejadian dan mereka menantikan aduan rasmi daripada pihak FAP yang akan dilakukan seberapa segera.

"Pihak FAP juga mengharapkan penyokong-penyokong Pulau Pinang agar bertenang dan tidak melakukan sebarang provokasi di media media sosial yang memungkinkan isu ini akan berpanjangan dan tiada kesudahan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain