suria

JDT Bakal Terima Anugerah Khas SAM-100Plus

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal menerima Anugerah Khas 100PLUS pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2015, Rabu ini.

Naib Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) Norismadi Abdul Manap berkata, anugerah itu adalah bagi mengiktiraf perjuangan dan kejayaan JDT yang melakar sejarah baharu bola sepak negara selepas muncul pasukan pertama Asia Tenggara menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lepas.

"JDT telah membuktikan tiada yang mustahil dalam sukan sekiranya semua yang terlibat memegang visi yang sama. SAM mengucapkan tahniah dan semoga terus berjaya dalam kempen selepas ini," kata Norismadi yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Anugerah SAM-100PLUS 2015 menerusi kenyataan, Ahad.

Skuad Harimau Selatan itu menjuarai Piala AFC selepas menundukkan Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober tahun lepas. 

Jaringan tunggal perlawanan diperoleh menerusi pemain tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22. 

Anugerah berprestij kewartawanan sukan Malaysia itu diadakan pada 13 April ini dan akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anugerah Khas 100PLUS itu mula diperkenalkan dalam Anugerah SAM-100PLUS pada 2011, dengan pasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 tahun yang muncul juara Piala AFF-Suzuki 2010 dipilih selaku penerima pertama anugerah itu.

Senarai penerima Anugerah Khas 100Plus:

2011 - Pasukan bola sepak kebangsaan B-23 tahun - Piala AFF-Suzuki 2010
2012 - Skuad bola sepak Harimau Muda - Sukan SEA 2011
2013 - Mohd Zulfahmi Khairuddin - Kejohanan Moto3 Dunia 2012
2014 - Skuad hoki remaja - Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013 
2015 - Pasukan skuasy wanita - Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2014.-- Bernama
JDT, SAM-100Plus, Anugerah Khas

Artikel Lain