suria

GP Amerika: Adam Bermula Di Barisan Kedua, Khairul Idham Di Petak Ke-32

Adam Norrodin ketika beraksi di Circuit of The Americas di Austin, Texas.

KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan cuaca mencabar, pelumba sensasi baru Moto3 dari Malaysia, Adam Norrodin, berjaya meraih barisan kedua untuk memulakan perlumbaan di Circuit of The Americas di Austin, Texas.

Adam yang mencatat masa keenam terpantas 2:19.469 saat dalam sesi kelayakan pada Sabtu (awal pagi Ahad di Malaysia) setelah menamatkan sembilan pusingan, menyuarakan harapan agar dia dapat berlumba dengan lancar setelah dilanda kekecewaan pada Grand Prix (GP) Argentina, baru-baru ini.

"Sesi kelayakan hari ini sungguh mencabar, tetapi ia berjalan lancar. Cuaca kerap berubah, maka keadaan trek juga agak menyulitkan. Pada mulanya, ia basah dan kemudian kering dengan begitu cepat.

"Kami tukar kepada tayar jenis 'slick' dan meneruskan perlumbaan, saya beri tumpuan untuk cuba memecut kerana kami tak tahu apa akan berlaku kemudian. Saya akan lakukan yang terbaik sejak awal lagi dan berusaha sedaya upaya untuk menebus kembali kesilapan yang saya lakukan pada perlumbaan lepas di Argentina," katanya selepas sesi kelayakan selama 40 minit itu.

Pelumba berusia 17 tahun itu berada di tempat kedua di Litar Termas de Rio Hondo minggu lepas, sebelum terjatuh di selekoh terakhir, namun berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat ke-11 setelah menolak jenteranya hingga ke garisan penamat.

Sementara itu, rakan sepasukan Adam daripada Drive M7 SIC Racing Team, Jakub Kornfeil, akan memulakan perlumbaan 18 pusingan itu di petak keempat setelah mencatat masa 2:19.068s.

"Ia bermula dalam keadaan basah, tetapi kedua-dua pelumba membuat keputusan bijak dan berhenti menukar tayar jenis 'slick'. Apabila mereka nampak trek kering semula, mereka tahu mereka perlu mengambil kesempatan daripadanya," kata pengurus pasukan itu, Johan Stigefelt.

"Biarlah apapun, petak keempat dan keenam di barisan kedua akan memudahkan mereka. Bagi kami, sama ada basah atau kering, saya yakin mereka berdua akan berlumba dengan baik," katanya.

Sementara itu, Khairul Idham Pawi dari Honda Team Asia, yang mencipta sejarah apabila muncul pelumba Malaysia pertama menjuarai perlumbaan Moto3 minggu lepas, akan memulakan perlumbaan di barisan akhir.

Pelumba berusia 17 tahun itu sekadar menduduki tempat ke-32 dengan catatan masa 2:24.640s.

"Sesi kelayakan ini amat sukar bagi saya. Dengan keadaan yang menyulitkan ini, saya tidak dapat memperbaiki masa sepusingan saya. Sudah tentu, bermula daripada petak terakhir bukan sesuatu yang mudah, tapi saya akan berusaha sedaya upaya untuk meraih keputusan yang baik," kata Khairul Idham dalam kenyataan.

Pada perlumbaan Moto2 pula, Hafizh Syahrin dari Petronas Raceline Malaysia akan memulakan cabaran di petak ke-17 setelah mencatat masa 2:10.292s pada sesi kelayakan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain