suria

Cuaca Panas Beri Kesan Kepada Prestasi Atlet

Siti Fatimah Mohamad

IPOH:  Penganjur acara sukan wajar mempertimbang untuk menangguhkan sebarang program atau kejohanan khususnya yang melibatkan aktiviti luar ketika cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino sekarang. 

Pelari pecut kebangsaan, Siti Fatimah Mohamad, 30, berkata suhu yang agak tinggi ketika ini mendedahkan para atlet kepada risiko dehidrasi sekali gus memberi kesan kepada prestasi atlet.

"Bila dehidrasi nanti, badan kita (atlet) jadi sangat letih dan macam-macam boleh jadi," katanya ketika ditemui pemberita pada hari terakhir Kejohanan Allcomers Perak 1 2016 pad Ahad.

Siti Fatimah yang mewakili pasukan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Kita Juara (KOM Kita Juara) dalam acara lari 200 meter sekadar meraih pingat perak, namun berjaya memecah rekod kejohanan dengan catatan masa 24.88 saat.

Juara acara itu, milik Zaidatul Husniah Zulkifli juga dari pasukan KOM KitaJuara dan turut memecah rekod apabila mencatat masa 24.57s.

Rekod sebelum ini,24.90s dicipta pada 2006 oleh Honey Joy dari pasukan Sri Lanka.

Ditanya mengenai komitmen selepas ini, Siti Fatimah berkata beliau mungkin melupakan seketika kejohanan dalam negara bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan yang dijadual pada Mei depan.

Bagaimanapun, pelari pecut lelaki negara Mohd Izzuddin Yahya mempunyai pendapat berbeza, yang berkata faktor cuaca termasuklah suhu yang sangat panas, tidak terlalu mempengaruhi prestasi seseorang atlet.

"Cuaca kita tak boleh nak elakkan. Maka dalam apa juga keadaan kena teruskan, yang penting fokus. Lagipun setiap kejohanan telah diatur lama," katanya yang mendapat pingat perak dalam acara 200 meter, tewas kepada Harith Ammar Mohd Sobri, yang merangkul pingat emas. 

Guru Sekolah Menengah Sye d Sirajuddin, Arau, Perlis itu juga sedikit 'terkilan' kerana harapannya untuk bersaing dengan Badrul Hisyam Abdul Manap dalam kejohanan kali ini tidak tercapai memandangkan atlet itu sedang berehat akibat kecederaan.

Badrul Hisyam menjadi tumpuan apabila mencatat masa 10.29 saat dalam acara100 meter pada Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei November lalu, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan 10.30s yang dipegang Watson Nyambek selama 17 tahun.

Bagaimanapun, catatan Badrul Hisyam itu dianggap tidak sah berikutan kegagalan penganjur mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Kejohanan Allcomers Perak 1 berlangsung selama dua hari mulai Sabtu di Stadium Perak di sini anjuran bersama Persatuan Olahraga Perak, MSN serta Milo dan disertai kira-kira 750 atlet. -Bernama

Cuaca panas, prestasi atlet

Artikel Lain