suria

Bekas Pemain Arsenal Robert Pires Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Peminat kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal membanjiri Berjaya Times Square Mall, di sini, untuk bertemu bekas pemain tengah pasukan "Gunners", Robert Pires.

Bekas bintang bola sepak Perancis berusia 42 tahun tiba di pusat membeli-belah itu kira-kira 1 tengah hari dan disambut meriah oleh hampir 1,000 peminat setia Arsenal yang menunggu sejak pukul 9 pagi untuk melihat kelibat beliau.

Beberapa orang peminat Arsenal ketika ditemui Bernama di sini hari ini melahirkan rasa teruja untuk bertemu secara berdepan dengan bintang bola sepak pujaan mereka.

Sara Ali, 24,  dari Damansara, dia benar-benar berasa teruja dapat bertemu idolanya.

"Ini betul-betul peluang sekali seumur hidup bagi saya bertemu Pires yang tidak ragu-ragu lagi ialah bekas pemain tengah terbaik "Gunners" semasa zaman kegemilangan pasukan itu pada awal tahun 2000," kata pelajar kolej swasta yang tidak melepaskan peluang untuk berselfie dengan Pires dan meminta bintang bola sepak itu menurunkan tandatangannya pada jersi Arsenal.

Turut berkongsi pandangan yang sama ialah R. Ramesh, 34, yang sanggup datang dari Alor Setar, Kedah bersama isteri dan dua orang kanak-kanak semata-mata untuk bertemu idola mereka dari Perancis itu.

"Saya telah merancang perjalanan dari Alor Setar sejak dua hari lepas apabila saya mendapat tahu Pires akan datang ke Malaysia dan saya tidak sabar untuk bertemu idola saya secara berdepan," kata pekerja bank itu yang mengambil cuti semata-mata untuk bertemu idolanya. 

Pires adalah tidak asing bagi peminat Arsenal kerana beliau membantu kelab dari London Utara itu merangkul dua gelaran  Piala FA dan Juara Liga pada musim 2001/02 dan 2003/04.

Beliau juga menjadi penggerak utama yang membantu pasukan bimbingan Arsene Wenger menjulang Perisai Komuniti sebanyak dua kali iaitu pada 2012 dan 2014.  

Di pentas antarabangsa, Pires membantu pasukan antarabangsa Perancis atau lebih dikenali sebagai "Les Bleus" menjuarai Piala Dunia FIFA 1998 di gelanggang sendiri.

Beliau juga tidak kurang menjadi pemain utama membantu Perancis merangkul gelaran Kejohanan Eropah pada 2000 dan juga menjulang Piala Konfederasi FIFA dua kali, 2001 dan 2003.-Bernama

Robert Pires, Arsenal

Artikel Lain