suria

Piala FA: Pemain JDT Diharap Kekal Momentum - Safiq

Aksi Lucero selepas menjaringkan gol tunggal pada aksi suku akhir pertama Piala FA bertemu PDRM di Stadium Hang Jebat Sabtu malam.

MELAKA: Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) diharap dapat mengekalkan momentum bagi perlawanan timbal balik Piala FA menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu pada 2 April depan dan seterusnya layak ke separuh akhir.

Kapten pasukan JDT Safiq Rahim berkata para pemain telah banyak memperbaiki kelemahan sepanjang beraksi dalam 10 perlawanan musim ini dan berpuas hati serta yakin bagi menghadapi perlawanan timbal balik itu.

"Kemenangan 1-0 menentang PDRM adalah bekalan yang baik untukJDT beraksi di Larkin dan kami yakin JDT akan layak ke separuh akhir Piala FA.

"Beraksi di tempat sendiri pada perlawanan timbal balik suku akhir ini jugaakan menjadi motivasi yang tinggi pada pemain dan pasukan untuk melakukan yang terbaik dan mengekalkan keputusan positif," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini, Sabtu malam.

Juara bertahan Liga Super JDT mencatat kemenangan 1-0 ke atas PDRM di Stadium Hang Jebat Melaka di sini, hasil sepakan penalti disempurnakan penyerang import dari Argentina, Juan Martin Lucero pada minit ke-18.

Mengulas lanjut, Safiq berkata walaupun faktor keletihan, sedikit mempengaruhi mutu prestasi pemain pasukan itu namun ia bukan halangan atau alasan untuk mereka memberikan persembahan terbaik setiap kali beraksi.

"Sebagai pemain kami kena harungi dan kami ada skuad yang besar. Sesiapa pun boleh bermain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata masalah keadaan padang yang tidak rata di Stadium Hang Jebat juga bukan penghalang kepada pemain atau pasukan beraksi dengan baik sekiranya pemain mengikut taktikal yang telah dirancang jurulatih.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM Mohd Fauzi Pilus berkata kekalahan PDRM ekoran pemain terutama di bahagian tengah kurang mempamerkan aksi kreatif selain tekanan daripada pemain pertahanan JDT yang bermain lebih cemerlang.

Katanya bagaimanapun penjaga gol pasukannya Muhammad Haziq Nadzli telah mempamerkan aksi cemerlang dan tenang sehingga PDRM dapat menghalang beberapa serangan balas yang lebih baik daripada JDT.

Ditanya tentang persediaan pada perlawanan timbal balik menentang JDT di Larkin, beliau berkata: "Kemungkinan apa pun boleh berlaku. Kami tetap menaruh harapan pada pemain sedia ada dan pemain muda".

JDT, Piala FA, Safiq Rahim, PDRM

Artikel Berikut

Artikel Lain