suria

Badrul Perlu Banyak Pendedahan Antarabangsa -Watson Nyambek

Pengarah Bahagian Prestasi Sukan, ISN Dr. Vellapandian Ponnusamy (kanan) menyerahkan surat pelantikan ejen kepada bekas pelari pecut negara Watson Nyambek (tengah) pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Hydrofit Nutrition, Ahad. Turut kelihatan Pengerusi Eksekutif Hydrofit Nutrition, Firdaus Abdul Razak. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara Badrul HisyamAbdul Manap perlu diberikan lebih banyak pendedahan di kejohanan antarabangsa untuk lebih menyerlah dalam acara berkenaan, kata bekas Raja Pecut Negara, Watson Nyambek.

Pemegang rekod kebangsaan acara 100m selama 18 tahun itu berkata menerusi kejohanan luar negara, pelari muda kelahiran Melaka itu dapat mengukur prestasinya apabila bersaing dengan pelari antarabangsa.

"Penyertaan di kejohanan tempatan hanya memberikan beliau pendedahan biasa, berlawan sesama sendiri...yang mana tiada perbezaan prestasi yang terlalu ketara. Sekurang-kurangnya apabila bersaing dengan pelari luar negara yang lebih laju darinya, Badrul Hisyam akan mempertingkatkan prestasinya," katanya.

Watson mengakui Badrul Hisyam adalah seorang pelari pecut yang berpotensi namun untuk memastikan prestasinya terus berkembang dengan baik, pelari muda itu perlu didedahkan dengan lebih banyak kejohanan antarabangsa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dilantik agen produk makanan nutrisi tambahan keluaran syarikat Hydrofit Nutrition yang berpangkalan di Jitra, Kedah.

Produk tersebut diasaskan oleh bekas atlet angkat berat negara, Firdaus Abdul Razak.

Ditanya sama ada Badrul Hisyam mampu mencapai rekod kelayakan Sukan Olimpik 10.01s, Watson berkata atlet muda itu boleh mencapai catatan masa berkenaan dengan latihan konsisten di luar negara.

Watson bagaimanapun menasihatkan atlet muda itu memberikan fokus untuk memecahkan rekod peribadinya iaitu 10.29s yang dicipta pada Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei, November lepas.

"Kalau Badrul Hisyam dapat pecahkan rekod beliau 10.29s itu di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai ini adalah lebih bagus sebab sekurang-kurangnya kita dapat tengok prestasi beliau  sendiri," katanya yang kini melatih atlet Sukma Sarawak.

Watson juga turut menasihat Badrul Hisyam agar dapat mengelakkan kecederaan serius yang mampu membantutkan prestasinya dengan tidak menjalani latihan intensif yang terlampau menekan keupayaannya. -Bernama

Watson Nyambek, Badrul Hisyam

Artikel Lain