suria

Vida Komited Berkorban Demi PQPTRW - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman disifatkan sebagai seorang yang sangat komited apabila sanggup melelong cincin kesayangannya demi membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain pasukan bola sepak itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, Hasrat Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida itu perlu dilihat sebagai satu motivasi kepada pemain untuk meningkatkan prestasi permainan.

"Jangan baca kenyataan itu secara selapis. Beliau sebut begitu nak tunjukkan kesungguhan, beliau mahu pemain bermain bersungguh-sungguh. Ertinya beliau sanggup bergadai harta benda untuk pemain.

"Ia satu sikap yang baik. Kalau cakap soal nak jual cincin, anggap ia sebagai satu pernyataan komitmen dan kita harus mengalu-alukannya," katanya kepada mStar online baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai kesediaan Vida melelong sebentuk cincin kesayangannya bagi membantu Kafa menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain pasukan Kelantan.

Namun Vida yang juga Penasihat Kehormat Kafa meletakkan syarat bahawa sekurang-kurangnya lima pemain Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) perlu mengkhatam al-Quran.

Mengulas lanjut mengenai isu tunggakan gaji, Annuar berkata Kafa akan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu secara berperingkat.

"Komitmen untuk bayar hutang, kita tetap akan bayar. Jadi sekarang dengan imej baharu dan kalau kita teruskan kemenangan...aliran tunai kita akan kembali sihat.

"Saya rasa kalau team perform, collection (kutipan tiket) bagus dan dibantu dengan sumber lain, kita akan bayar kepada semua yang tertungak itu melalui jadual yang dibayar secara berperingkat," katanya.

Sementara itu diminta mengulas mengenai kehadiran Vida yang dilihat lebih ke hadapan berbanding dirinya sebagai Presiden Kafa, Annuar berkata beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah.

Sebaliknya Annuar mengakui bahawa Vida memberi aura yang tersendiri kepada pasukan Kelantan.

"Eloklah beliau dapat memainkan peranan yang lebih. Saya meraikan kehadirannya dengan cara kita.

"Beliau memberi aura yang tersendiri kepada pasukan Kelantan dan jika kita terus menang dengan aura yang dibawanya, saya fikir Kelantan akan menjadi pasukan yang agak unik tahun ini.

"Jadi apa salahnya kalau beliau overshadow? Apa yang kita nak berebut? Saya tak ada kepentingan, saya menguruskan bola sebab orang semua tak mahu," katanya.

Tambah Annuar lagi, sebagai penaja utama pasukan PQPTRW, Vida berhak untuk mendapat perhatian berbanding dirinya.

"Bila Datuk Seri Vida datang, ada orang kata mengapa dia overshadow saya...saya kata its okay, saya tak jual ubat.

"Beliau nak jual Qu Puteh, kalau tak boleh jual barang macam mana nak taja kita. Yang penting beliau tolong saya, kalau tak tolong macam mana nak bayar gaji?

"Saya pun kesiankan beliau, kadang-kadang orang kutuk dan sebagainya. Tapi saya bela. Saya kata jangan...dia berniaga. Apabila menaja, mesti nak dapat balik keuntungan," katanya.

Annuar Musa, Dr Vida, PQPTRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain