suria

Vida Calon Terbaik Presiden Kafa - Annuar

KUALA LUMPUR: Penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman kini mula disebut-sebut sebagai antara calon terbaik untuk menerajui pengurusan pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau sedia melepaskan jawatannya kepada Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida yang dilihat menunjukkan kesungguhan dan minat yang tinggi dalam sukan itu.

"Saya alu-alukan Datuk Vida, malah saya beritahu beliau untuk menggantikan saya sebagai presiden dan saya pula jadi penasihat.

"Dua tiga bulan lagi Kafa kena buat mesyuarat agung dan tempoh saya sebagai Presiden Kafa akan tamat.

"Kalau Datuk Vida sanggup, mengapa tidak? Kalau semua pihak pengurusan sokong, saya fikir beliau adalah salah seorang calon yang sesuai," katanya dalam wawancara eksklusif bersama mStar Online pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai cadangannya itu, Annuar berkata, jutawan kosmetik yang kini merupakan Penasihat Kehormat Kafa mempunyai kesungguhan luar biasa bagi mengangkat imej pasukan Kelantan.

"Saya tak jumpa lagi orang perempuan yang sanggup berada di tempat duduk pemain dan habiskan masa dengan kerja-kerja bola serta sanggup keluar duit berjuta-juta untuk sukan ini.

"Ini kali pertama saya jumpa usahawan Melayu yang sanggup keluar duit berjuta-juta untuk bola.

"Anda boleh kata apa sahaja kepada Datuk Vida, tapi realitinya bola sepak Malaysia kena berterima kasih kepada beliau. Jangan kita pandang kecil apa yang beliau buat, saya fikir Datuk Vida boleh," katanya.

Sementara itu, Vida ketika dihubungi mStar Online  terkejut dengan cadangan tersebut dan menganggap ia sekadar gurauan.

"Eh betul ke ini, mungkin dia sekadar bergurau. Apapun saya amat terkejut dan tidak sangka dia akan kemukakan cadangan tersebut," katanya.

Namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sehingga Annuar membuat pengumuman rasmi mengenainya.

"Saya tak nak komen lebih-lebih, seeloknya biar kita tunggu pengumuman (rasmi) daripada beliau (Annuar) sendiri," katanya.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain