suria

8-0: Penyudah Pemain Kedah 'Terlajak Tajam'

KEDAH menamatkan masalah penyudah tumpul apabila membelasah pasukan daripada Liga FAM, Megah Murni 8-0 dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Aman pada Jumaat malam.

Jaringan hatrik Carlos Kahe antara yang membantu skuad Helang Merah untuk melangkah ke pusingan ketiga Piala FA musim ini.

Anak didik Tan Cheng Hoe yang beraksi tanpa ketua pasukannya iaitu Khyrul Helmi Johari memperolehi jaringan pertama pada minit kelima menerusi tendangan lambung dari jarak 40 meter oleh pemain pertahanan, Azmeer Yusof.

Berselang 12 minit, pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva pula menggandakan kedudukan dengan melepaskan rembatan kencang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Asakkan bertali arus Kedah sekali lagi membuahkan hasil pada minit ke-24 menerusi Syazwan Zainon yang mudah menolak masuk bola lantunan hasil percubaan rakan sepasukan dari luar kotak penalti.

Bekas pemain Harimau Muda yang kini menjadi tonggak penting Kedah, Amirul Hisyam turut tidak terlepas untuk mecipta nama sebagai penjaring pada minit ke-27 sebelum Kahe menghasilkan gol kelima (minit ke-36).

Berselang dua minit kemudian, Syazwan pula menjadikan kedudukan 6-0 sebelum babak pertama ditamatkan oleh pengadil perlawanan.

Kelebihan yang ada pada pasukan tuan rumah memberi peluang kepada Cheng Hoe untuk mengeluarkan Sandro dan Liridon Krasniqi dengan membawa masuk Fakri Saarani dan Abd Halim Shaari bagi memulakan babak kedua.

Pada minit ke-69, Baddrol Bakhtiar pula dikeluarkan bagi membawa masuk Farhan Roslan untuk meneruskan usaha memburu gol.

Hasilnya, Kahe berjaya menghasilkan gol ketujuh Kedah dengan menanduk masuk tendangan sudut yang disempurnakan Farhan.

Ketika penyokong menantikan tiupan wisel penamat, Kedah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-91 yang membawa kepada jaringan kelapan dan hatrik pertama Kahe bersama pasukan Hijau Kuning.

Helang Merah, Megah Murni, Piala FA

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A

Artikel Berikut

Keputusan Piala FA, Jumaat

Artikel Lain