suria

Nama Pelumba TSG Ke LTdL Diumum 21 Februari

KUALA TERENGGANU: Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) akan mengumumkan nama pelumba yang bakal mewakili pasukan itu ke kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 21 Febuari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata pada masa  ini semua pelumba TSG berjumlah 15 orang termasuk empat pelumba import sedang menjalani latihan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak 10 hari lepas.

"Lepas latihan pada 19 Febuari baharu kita tahu siapa yang bakal mewakili TSG ke kejohanan berprastij itu," katanya.

Menurut Ahmad Farhan sebelum menjalani latihan di Kuala Lumpur, pelumba-pelumba TSG itu telah menjalani latihan di Chiang Mai, Thailand kira-kira dua minggu pada awal bulan ini.

Beliau berkata latihan di sana bertujuan untuk memahirkan pelumba dengan  jalan berliku dan berbukit yang bakal dilalui dalam perlumbaan LTdL nanti disamping memantapkan kayuhan.

Ahmad Farhan berkata pemilihan pelumba TSG ke LTdL itu berdasarkan kepada  persembahan dan prestasi dalam bidang masing-masing dan TSG dijangka akan  menghantar enam pelumba ke kejohanan itu.

Beliau berkata sebagai pembuka tirai 2016 TSG akan menyertai dua kejohanan  antarabangsa bulan ini iaitu kejohanan lumba basikal jelajah Filipina dari 16 hingga 21 Februari dan LTdL.

Katanya diharap pelumba-pelumba TSG mendapat kejayaan dalam kedua-dua  kejohanan berkenaan memandangkan prestasi mereka bertambah baik sejak menjalani  latihan di Chiang Mai dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata kedua-dua kejohanan itu juga merupakan ujian kepada jurulatih baharu TSG, Adam Szabo daripada Slovakia tentang keberkesanan latihan yang beliau terapkan kepada pelumba-pelumba TSG.

Katanya tahun ini TSG gunakan tenaga import iaitu Goh Choon Huat (Singapura), Daniel Whitehouse (New Zealand), Dadi Suryadi (Indonesia) dan Mara-erdene Batmunkh (Mongolia). - BERNAMA

LTdL, TSG

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PQPTRW Perkenal Lima Jersi Baharu

Artikel Lain