suria

Tanpa Pemain Berstatus Bintang, PKNS FC Tetap Optimis

SHAH ALAM: PKNS FC tetap optimis untuk memberi saingan dalam aksi Liga Perdana musim ini dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman.

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, pihaknya percaya adunan pemain lama dan baharu mampu mencapai sasaran untuk bergelar juara musim ini.

"Pihak pengurusan kelab menyasarkan kedudukan terbaik liga bagi memastikan layak ke saingan elit bola sepak negara.

"Ia sasaran realistik memandangkan Ketua Jurulatih E. Elavarasan dan pengawai-pengawai mempunyai pengalaman luas," jelasnya pada Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi PKNS FC di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada Khamis.

Jelas Siti Zubaidah, PKNS FC tidak ada pemain yang berstatus bintang, namun percaya dengan kemampuan barisan pemain sedia ada.

"Kami sedar ia bukan satu perkara mudah berdasarkan kualiti pasukan lain seperti Johor Darul Takzim II, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan lain-lain.

"Apa yang saya lihat dari persiapan pasukan pra musim, pemain telah menunjukkan komitmen tinggi, berdisiplin, semangat berpasukan dan paling penting bermain untuk menaikkan imej PKNS," tambahnya.

Berdasarkan rekod musim lalu, PKNS FC berada di kedudukan keempat liga perdana, sekaligus berputih mata untuk kembali ke saingan Liga Super.

Dua pemain import baharu yang diikat bagi perkuatkan pasukan ini adalah Juan Manuel Cobelli dari Argentina dan pemain kebangsaan Palestin, Matias Jadue.

Manakala Gonzalo Manuel Soto dan Gabriel Miguel Guerra masih kekal menyarung jersi ini.

Selain itu, antara muka baharu pemain tempatan yang menyertai skuad PKNS FC musim ini ialah Remezey Che Ros, Khairul Ramadan, Shakir Ali dan Farid Ramli.

Berkaitan jersi, PKNS FC masih mengekalkan warna rasmi  biru untuk perlawanan di laman sendiri, oren apabila berkunjung ke tempat lawan dan  putih untuk  jersi ketiga yang ditaja Kappa.



Artikel Sebelum

PQPTRW Perkenal Lima Jersi Baharu

Artikel Berikut

"Susah" - Fakri Saarani

Artikel Lain