suria

Indra Mahu Guna Cara Sendiri Bimbing Skuad Pelapis Negara

Indra Wijaya.

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki, Indra Wijaya mahu menggunakan corak latihan tersendiri untuk membimbing pemain pelapis negara.

Indra yang baharu memulakan tugasnya bersama skuad pelapis kebangsaan pagi tadi berkata setiap pemain memerlukan latihan yang berbeza dan beliau berharap anak buahnya akan cepat belajar.

Seramai tujuh pemain akan berada di bawah bimbingan Indra ialah Cheam June Wei, R.Satheishtharan, Yeoh Seng Zoe, Muhd Syafiq Jamaluddin, Chin Wai Kin, Lee Xii Jia dan Tan Jin Wei.

"Mulai Isnin depan, kita akan bahagikan pemain kepada beberapa kumpulan. Saya akan berusaha sebaik mungkin. Paling penting membawa perubahan kepada pemain dan saya mahu terapkan semangat berpasukan.

"Saya harap kedatangan saya di sini mampu membawa nilai positif untuk pasukan Malaysia terutamanya bagi perseorangan lelaki," katanya kepada pemberita di Stadium Juara Bukit Kiara, Khamis.

Indra merupakan bekas jurulatih perseorangan Korea Selatan dan antara pemain bimbingannya ialah pemain nombor 12 dunia, Son Wan Ho.

Juara remaja dunia 1991 dan juga naib juara Terbuka Malaysia 1996 itu adalah bekas pemain Indonesia yang pernah mewakili Singapura selama empat tahun selepas meninggalkan skuad kebangsaan negara kelahirannya pada tahun 2000.

"Latihan saya mungkin lebih kurang sama seperti di Korea Selatan tetapi saya belum tahu lagi corak latihan di sini. Saya akan sesuaikannya dengan pendekatan saya sendiri," katanya.

Indra, 42, berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab besar untuk melahirkan pemain perseorangan lelaki negara yang kompetitif dan mampu bersaing di peringkat Siri Super dalam tempoh dua tahun lagi.

"Saya tidak boleh bercakap banyak kerana belum tahu tahap prestasi pemain pelapis negara. Tugasan sangat berat dan ia merupakan cabaran buat saya," katanya. - BERNAMA

Indra Wijaya, badminton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain