suria

Jersi DSV Lakar Sejarah, Mampu Lancar Aliran Darah, Putihkan Kulit Pemakai

PETALING JAYA: Jersi jenama DSV (Datuk Seri Vida) yang akan disarung pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) pada musim ini melakar sejarah tersendiri apabila dikatakan yang pertama di dunia dihasilkan menggunakan teknologi terkini penjagaan kesihatan apabila ia berupaya melancarkan aliran darah dan memutihkan kulit si pemakai.

Bukan itu sahaja, malahan orang ramai terutama penyokong pasukan juga boleh memiliki keempat-empat rekaan jersi tersebut bagi versi Millenia yang dijual pada harga RM98 sehelai.

Bagi edisi pemain pula, jersi tersebut dijual pada harga RM168.

Penaja utama PQPTRW, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, jersi tersebut bukan sahaja menekankan soal rekaan supaya nampak cantik dan menyerlah tetapi juga mempunyai kelebihan dari segi kesihatan.

Katanya, kesemua jersi tersebut dihasilkan menggunakan benang khas yang ditempah dari tiga kilang di China, Thailand dan Vietnam bertindak melancarkan aliran darah dan menghasilkan kelembapan daripada peluh, selain mampu membakar lemak.

"Jersi ini seolah-olah baharu turun dari angkasa lepas kerana dihasilkan menggunakan teknologi terkini yang mampu memutihkan kulit dan menguruskan pemakai.

"Teknologi benang ini sudah lama saya fikirkan sebelum menaja pasukan Kelantan, cuma saya baharu aplikasikan pada jersi PQPTRW, salah satu produk baharu di bawah jenama DSV," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau lagi, uniknya mengenai jersi tersebut apabila kulit pemakainya akan menjadi lebih putih semasa proses mengeringkan peluh terjadi, seolah-olah baharu selesai mandi wap atau sauna.

"Boleh dikatakan jersi ini bersifat luar biasa dan mampu menyaingi jersi pasukan antrabangsa seperti Real Madrid. Saya bukan sahaja mementingkan kualiti kain tetapi juga soal kesihatan pemakainya," kata Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida.

Dengan penggunaan teknologi canggih ini, Vida yakin jersinya sukar untuk diciplak pihak tidak bertanggungjawab.

"Teknologi ini hanya ada pada jersi saya, jadi saya yakin jersi ini sukar ditiru mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mudah," katanya.

Terdahulu mStar Online melaporkan pasukan Kelantan akan menyarung jersi jenama DSV yang menampilkan rekaan serta kualiti bertaraf lapan bintang bagi menghadapi aksi Liga Malaysia musim ini.

Vida berkata, terdapat dua jersi yang akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri, masing-masing berwarna merah jambu dan warna tradisi Kelantan, merah.

Katanya, bagi jersi di gelanggang lawan, dua jersi turut disediakan dengan gabungan warna merah jambu dan hitam serta putih sahaja.

Jelas Vida, daripada empat rekaannya itu, jersi tradisi Kelantan merah-putih serta merah jambu-putih akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri, sementara warna merah jambu-hitam dan biru-putih akan digunakan PQPTRW di tempat lawan.

Majlis memperkenalkan keempat-empat jersi tersebut akan diadakan di Kota Baru, Kelantan pada petang Khamis.

Vida memberitahu sebanyak 20,000 helai jersi keempat-empat rekaan edisi Milennia dan edisi pemain akan dikeluarkan untuk majlis pelancaran pertama pada petang Khamis.



DSV, PQPTRW, Milenia, Vida, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain