suria

Piala FA: Kenangan Manis Menang Ke Atas Liverpool - Bilic

Ogbonna (depan) menjaringkan gol kemenangan ke atas Liverpool pada saingan pusingan keempat Piala FA awal pagi Rabu.

PENGURUS West Ham, Slaven Bilic percaya kemenangan 2-1 ke atas Liverpool pada perlawanan pusingan keempat Piala FA merupakan antara kenangan paling manis mereka.

Tandukan Angelo Ogbonna pada masa tambahan memberi kemenangan 2-1 sekaligus membawa West Ham ke pusingan kelima bertemu Blackburn Rovers.

"Ia bakal mencatat sejarah buat West Ham dalam perlawanan paling menarik.

"Saya amat berbangga dengan semua pemain. Mereka meninggalkan jiwa di atas padang," jelas jurulatih dari Croatia itu.

Ia merupakan kemenangan pertama West Ham ke atas Liverpool dalam saingan Piala FA selepas lapan kali pertemuan yang amat mengecewakan sebelum ini, lebih-lebih lagi apabila tewas penalti di pentas akhir 10 tahun lalu.

Dengan kemenangan ini mereka berpeluang mengulangi kejayaan menjulang trofi buat kali pertama selepas 1980 ketika menyingkirkan Arsenal di Wembley.

"Jika kami kekal mempamerkan aksi seperti ini, saya percaya skuad mampu menewaskan mana-mana pasukan di England," tambahnya.

Manakala pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang kembali bersama skuad selepas berehat gara-gara mengalami masalah di bahagian perut mengakui kekalahan ini amat mengecewakan.

"Ia sangat sukar untuk diterima. Kami sebuah pasukan yang lebih baik, mencipta peluang gol tetapi tidak menggunakannya.

"Peluang untuk menang terbuka luas, tetapi ia tidak cukup untuk kami meraih kejayaan," jelas Klopp.

West Ham, Liverpool, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain