Skuad Rusa Diberi Kata Dua Tidak Terbabit Rasuah - Sukan | mStar

Skuad Rusa Diberi Kata Dua Tidak Terbabit Rasuah

Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemain atau pegawai skuad negeri itu yang terlibat dengan rasuah.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata beliau tidak akan berkompromi terhadap perbuatan mengatur atau menjual perlawanan.

Malah beliau turut meminta mana-mana pihak dan individu yang menghidu perbuatan itu memaklumkannya kepada pengurusan PBNS atau pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

"Jangan takut membuat aduan kerana kita ada undang-undang yang melindungi pemberi maklumat.

"Rasuah hanya akan menjejaskan prestasi pasukan. Kita tidak mahu bola sepak dicemari perbuatan rasuah dengan mengatur atau menjual perlawanan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Katanya sasaran skuad Rusa musim ini ialah untuk kembali bersaing dalam kelompok Liga Super musim depan bagi menjulang semula nama Negeri Sembilan dalam arena bola sepak tempatan.

Bagi musim ini, skuad Rusa dibimbing jurulatih baharu, Gary Michael Phillips, 52, yang berasal dari Australia dan pernah membimbing pasukan Sabah sebelum ini.

Skuad Rusa turut dibarisi empat pemain import iaitu tiga dari Australia iaitu penyerang Joel Chianese, Taylor Regan (pertahanan) dan Andrew Nabbout (tengah) manakala seorang lagi ialah Alex Smith dari England yang beraksi di posisi tengah. - BERNAMA 


skuad Rusa , Liga Malaysia , rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

PQPTRW Tampil 11 Muka Baharu

Artikel Lain