suria

"Pandai Makan, Pandai Cuci" - Vida

Hasmiza Othman.

PETALING JAYA: Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menegaskan beliau tidak akan sesekali membenarkan wang tajaannya kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) digunakan untuk membayar tunggakan gaji pemain yang tidak lagi bersama pasukan tersebut.

Sebaliknya, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida memberi kata dua kepada badan induk bola sepak negeri itu supaya mencari alternatif untuk segera menyelesaikan masalah itu.

"Saya serahkan kepada Tan Sri Annuar Musa selaku Presiden Kafa untuk selesaikan masalah itu. Saya tak nak ambil tahu perkara yang sudah lepas. Pandai makan kenalah pandai cuci pinggan.

"Saya tak nak cuci pinggan yang dah kotor. Saya hanya mahu beri tumpuan kepada pembangunan pasukan musim ini. Saya kena tegas dalam perkara ini," katanya kepada mStar Online.

Jelas Vida, beliau turut 'terpukul' dengan beberapa kritikan pedas yang turut mengaitkan dirinya susulan kegagalan menyelesaikan masalah tersebut sehingga hari ini.

"Ada yang kata saya hanya berminat untuk mengecat stadium dan kecoh mengenai jersi, saya cukup terpukul dengan kenyataan itu.

"Ingin saya tegaskan di sini, wang tajaan saya itu hanya untuk bayaran gaji pemain sedia ada sahaja, tiada kaitan dengan pemain sebelum ini," katanya.

Justeru, beliau meminta Kafa supaya berbincang dengan lima bekas pemain Kelantan mengenai cara pembayaran gaji tertunggak tersebut bagi menjaga imej PQPTRW musim ini.

"Saya harap Tan Sri (Annuar) berunding dengan mereka, fikirkan cara bagaimana nak bayar. Jika masih gagal diselesaikan, ia akan beri kesan buruk kepada pasukan pada aksi Liga Malaysia musim ini," katanya.

Lima bekas pemain Kelantan yang masih belum menerima bayaran tunggakan gaji masing-masing adalah Amiridzwan Taj Tajuddin, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Fitri Omar dan Muhammad Nazri Ahmad. 

Awal bulan lalu, Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sedia mengenakan hukuman memotong mata mana-mana pasukan bermula musim ini yang masih gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Selain Kelantan, dua lagi pasukan yang masih gagal melunaskan hutang terhadap pemain ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United.

Terdahulu, Kafa mewujudkan akaun khas seperti yang dikehendaki Vida di mana wang tajaannya sebanyak RM6 juta semusim akan digunakan khusus untuk membayar gaji pemain bagi mengelakkan berlaku masalah tunggakan gaji.

Manakala, baki RM2 juta lagi digunakan untuk baik pulih stadium (RM1 juta ) dan penganjuran Piala Datuk Seri Vida (RM1 juta).

Kafa, Datuk Vida, PQPTRW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain