suria

Vida Rahsiakan Lakaran Kit PQPTRW Elak Diciplak

CERIA... Pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors menggayakan ’tagline’ Qu Puteh bersama Vida ketika aksi persahabatan menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Selasa lalu.

PETALING JAYA: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman enggan mendedahkan lakaran sebenar kit Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) musim ini kerana mahu mengekalkan keeksklusifan dan memberi kejutan kepada penyokong.

Malah, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida memberitahu beliau dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengelak kebocoran lakaran kit terbaharu itu.

Beliau berkata walaupun jersi itu belum berada di pasaran, langkah awal perlu diambil kerana enggan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab menciplak jersi terbaharu pasukan Kelantan.

"Jersi untuk pemain sudah ada tapi kita simpan dahulu. Nak shooting pun saya risau takut nanti kena ciplak pula," katanya kepada mStar Online.

Menurut Vida, jersi terbaharu itu hanya akan dipertontonkan kepada umum pada 11 Februari ini dalam satu majlis rasmi di Kota Baru, Kelantan.

"Jersi itu akan sampai 10 Februari ini. Ramai penyokong tertanya-tanya mengenai jersi terbaharu pasukan Kelantan tapi segalanya hanya akan terjawab pada 11 Februari nanti," katanya.

Vida berkata, menariknya pada musim ini apabila jersi tersebut turut dikeluarkan dengan versi berlengan panjang bagi menutup aurat.

Vida nafi jersi yang disarungnya adalah contoh jersi sebenar Kelantan musim ini.


"Golongan wanita tidak perlu bimbang kerana jersi berlengan panjang turut akan dikeluarkan. Jadi sekarang golongan wanita tiada lagi alasan untuk tidak hadir bersama-sama menggamatkan suasana di stadium," katanya.

Pada masa sama Vida berkata jersi berwarna merah jambu PQPTRW yang disarung beliau ketika menyaksikan perlawanan persahabatan antara Kelantan dan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV pada Selasa lalu, bukanlah jersi sebenar pasukan tersebut.

"Itu bukan jersi sebenar tapi hanya tester sahaja. Namun ramai yang puji jersi tersebut nampak cantik dan menyerlah," katanya.

Usahawan kosmetik terkemuka negara itu berkata untuk edisi pertama pada 11 Februari ini, sebanyak 20,000 helai jersi versi eksklusif dan versi penyokong bagi empat rekaan dengan jenama DSV (Datuk Seri Vida) akan mula dijual kepada penyokong.

"Kita akan keluarkan dahulu edisi awal untuk memenuhi permintaan penyokong sebelum pembukaan saingan Liga Super 13 Februari ini. Namun, majlis pelancaran secara besar-besaran kit dan barangan rasmi PQPTRW hanya akan diadakan pada Mei nanti," katanya.

Lakaran jersi idaman Vida.

Terdahulu, mStar Online melaporkan pasukan Kelantan akan menyarung jersi jenama DSV yang menampilkan rekaan serta kualiti bertaraf lapan bintang bagi menghadapi aksi Liga Malaysia musim ini.

Vida berkata, terdapat dua jersi yang akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri, masing-masing berwarna merah jambu dan warna tradisi Kelantan, merah.

Katanya, bagi jersi di gelanggang lawan, dua jersi turut disediakan dengan gabungan warna merah jambu dan hitam serta putih sahaja.

Jelas Vida, berkata daripada empat rekaannya itu, jersi berwarna tradisi Kelantan merah-putih serta merah jambu-putih akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri sementara warna merah jambu-hitam dan biru-putih akan digunakan PQPTRW di tempat lawan.

Sementara itu, beliau turut memberi amaran keras dengan mengeluarkan saman RM1 juta kepada mana-mana pihak yang didapati menciplak jersi pasukan Kelantan.

Vida berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan peguamnya untuk memastikan keeksklusifan jersi dan barangan rasmi PQPTRW terus dilindungi.

"Ya, saya sudah bincangkan mengenai perkara ini dengan peguam saya. Ia penting untuk elak produk saya diciplak pihak tidak bertanggungjawab," katanya.



Datuk Vida, PQPTRW, jersi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain