suria

TPM Tekad Mahu Benteras Rasuah Bola Sepak

Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan pemain pasukan PDRM pada majlis pelancaran dan memperkenalkan barisan pemain pasukan itu untuk saingan Liga Malaysia Musim 2016 malam ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim (dua,kiri). Foto:Bernama

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan untuk membanteras gejala rasuah bola sepak di negara ini selepas menerima aduan ada pemain mengatur permainan pada Liga Malaysia musim lepas.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap perbuatan seperti itu pada musim ini dan meminta persatuan negeri dan kelab yang menghidu perbuatan itu supaya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

"Jika terdapat dalam kalangan pemain, jurulatih mahupun pegawai yang terlibat dalam menjual permainan dan ada bukti, polis akan tetap mengambil tindakan tegas.

"Kita tidak mahu permainan bola sepak dicemari dengan perbuatan rasuahdengan mengatur atau menjual perlawanan," katanya pada majlis pelancaran pasukan bola sepak Liga Super PDRM musim 2016 di sini, Ahad malam.

Ahmad Zahid, yang juga penaung Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA), berkata beliau juga mengetahui terdapat bookie yang sentiasa memerhati prestasi pemain dalam skuad kebangsaan.

Ini komitmen saya sebagai Menteri Dalam Negeri supaya permainan pada musim ini mesti bersih dan harus kelihatan bersih," katanya. 

Dalam pada itu, mengenai pasukan PDRM, beliau menjanjikan insentif dan kenaikan pangkat kepada pemain dan barisan kejurulatihan skuad 'The Cops' itu yang diketuai oleh Mohd Fauzi Pilus sekiranya muncul juara Liga Super musim ini.

Beliau turut mengumumkan dana sebanyak RM250,000 kepada pasukan penyokong PDRM FA yang setia memberi sokongan kepada pasukan itu.

Sementara itu, Presiden PDRM FA, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim meletakan sasaran sekurang-kurangnya satu piala bagi pasukan yang akan terus menggunakan Stadium Shah Alam sebagai laman sendiri.

Untuk rekod, PRDM menamatkan kempen Liga Super musim lepas di kedudukan keenam dengan 35 mata selepas mencatatkan 11 kemenangan, dua seri dan sembilan kekalahan.

The Cops akan memulakan saingan liga musim ini dengan menerima kunjungan pasukan Sarawak, kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal, pada Sabtu ini sebelum berkunjung ke Kelantan pada 16 Februari ini.-Bernama

The Cops, PDRM, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain