suria

Vida Sedia Bimbing Penyokong PQPTRW Ceburi Perniagaan

PETALING JAYA: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berhasrat menawarkan bimbingan berbentuk nasihat perniagaan khusus kepada penyokong pasukan itu yang mahu menceburi bidang tersebut.

Malah, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, hasrat itu yang juga salah satu syarat dalam penajaan pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bertujuan menarik penglibaan lebih ramai rakyat Kelantan  dalam dunia perniagaan.

"Saya akan beri bimbangan perniagaan selama sebulan secara percuma kepada penyokong PQPTRW yang berminat. Menerusi cara ini saya dapat membantu menjana ekonomi rakyat di negeri itu," katanya.

Bagi merealisasikan usaha itu, Vida berkata, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bertanggungjawab membantu mereka yang berminat untuk mendapatkan pinjaman modal memulakan perniagaan.

"Tan Sri Annuar Musa (Presiden) setuju bantu dan sebaik sahaja pinjaman diberikan, saya akan kongsi tip kejayaan saya kepada mereka. Jadi mereka perlu tampil dengan produk yang kreatif dan mampu berdaya saing," katanya.

Walaupun usahawan di kalangan penyokong Kelantan diberi keutamaan, Vida berkata, beliau mengambil kira beberapa kriteria penting termasuk kesungguhan setiap usahawan untuk mengetengahkan produk masing-masing.

"Kesungguhan penting dalam diri seorang usahawan, bukan sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata. Apa yang penting adalah kita bersama-sama membantu meningkatkan pembangunan dan ekonomi di negeri ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Vida berkata, usahawan yang berminat tidak perlu bimbang tentang lokasi perniagaan kerana pihaknya akan menguruskan hal tersebut.

"Mereka boleh berhubung dengan pegawai saya di talian 0145124137 atau gunakan hastag #usahawanbimbingandsv menerusi aplikasi Instagram untuk menghantar maklumat berkaitan produk yang ingin dijual," katanya.

Bulan lalu, Vida memeterai perjanjian penajaan bernilai RM16 juta selama dua musim dengan Kafa selepas badan sukan induk negeri itu bersetuju dengan dua syarat awal yang ditetapkan termasuk 33 syarat tambahan.

Dua syarat awal itu adalah Stadium Sultan Muhammad IV dicat  merah jambu, manakala nama pasukan Kelantan ditukar kepada PQPTRW.

Vida turut menetapkan jersi utama TRW perlu berasaskan warna merah jambu menggunakan jenama DSV.

Malah semua pengadil yang mengadili perlawanan Liga Malaysia mesti menggunakan wisel dengan warna tersebut bersama jersi yang tertera logo Pamoga Qu Puteh.

Kafa juga perlu menganjurkan kejohanan bolasepak Piala Datuk Seri Vida dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bertujuan untuk mencari pemain pelapis.

Selain itu, penubuhan jawatankuasa yang terdiri daripada tujuh individu untuk menguruskan akaun khas penajaan dan menandatangani dokumen wang keluar juga antara syarat yang dikemukakan usahawan wanita tersebut.

Antara syarat lain, Vida turut membina sebuah gimnasium yang dilengkapi kolam ais yang akan disewakan kepada Kafa sebanyak RM30,000 sebulan dengan bayaran itu ditolak daripada nilai tajaan kepada pasukan tersebut.

Berikut adalah syarat yang sudah didedahkan:

- Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu.

- Nama pasukan Kelantan ditukarkan kepada Pamoga Qu Puteh the Red Warriors (PQPTRW).

- Jersi PQPTRW berasaskan merah jambu menggunakan jenama DSV.

- Penganjuran Piala Datuk Seri Vida 

- Pengadil Liga M perlu menggunakan wisel warna merah jambu dan jersi yang tertera logo Pamoga Qu Puteh.

- Penubuhan Akaun Khas untuk menguruskan wang tajaan dan gaji pemain yang akan ditandatangani satu jawatankuasa terdiri daripada tujuh individu termasuk Vida.

- Pelantikan sebagai pengurus eksekutif supaya mudah berinteraksi dengan pemain di bangku simpanan.

- Pengubahsuaian Wisma Vida Beauty dijadikan gimnasium kepada pemain dan disewakan kepada Kafa.

- Bimbangan perniagaan dan Kafa membantu mendapatkan pinjaman kepada usahawan dari kalangan penyokong Kelantan. 



Vida, PQPTRW, Kelantan, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain