suria

Bakar Suar: FAM Setuju Kurangkan Denda Terhadap PBNS

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju mengurangkan denda ke atas Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berhubung kes pembakaran suar selepas tamat pusingan kedua Piala FA antara Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 17 Mac 2015.

Jawatankuasa Rayuan FAM yang bersidang pada Jumaat, bersetuju mengurangkan jumlah denda daripada RM55,00 kepada RM30,000, setelah mempertimbangkan rayuan dikemukakan PBNS, demikian menurut FAM dalam kenyataan.

Badan induk itu turut memaklumkan, bersetuju mengurangkan tempoh penggantungan daripada enam bulan kepada dua bulan terhadap bekas penjaga gol pasukan Johor Darul Tazim II (JDT II), Mohd Anis Faron Ahmad Arsidi.

Penggantungan dua bulan itu, hanya berkuat kuasa selepas beliau didaftarkan beraksi dengan mana-mana pasukan, selepas ini.

Badan induk itu, bagaimanapun memutuskan untuk menaikkan jumlah denda ke atas Mohd Anis Faron daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Pemain berkenaan juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada FAM dari tempoh tujuh hari bermula pada Jumaat, selepas dikatakan membuat kenyataan berunsur penghinaan terhadap FAM dalam laman Facebooknya, sebelum ini.

Jawatankuasa Disiplin FAM yang bersidang pada 10 Jun 2015, mendenda Mohd Anis Faron sebanyak RM5,000 selain digantung enam bulan selepas didapati bersalah merosakkan pintu bilik persalinan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang selepas perlawanan Liga Perdana 2015 antara Pulau Pinang dan JDT II, 3 April tahun lepas. - BERNAMA



bakar suar, FAM, PBNS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain