suria

Felda United Sasar Satu Piala Musim Ini

Barisan pemain FUFC pada musim 2016.

JENGKA: Rekod baik dalam  saingan Liga Malaysia musim lalu dijadikan pembakar semangat Kelab Bolasepak Felda United (FUFC) untuk mengharungi saingan sengit tahun ini.

Penaung FUFC, Tan Sri Mohd Isa Samad menjelaskan kelab itu menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala dalam aksi musim ini.

“Setiap tahun pasukan ini boleh tahan dan dengan adanya stadium baru, semangat baru, harap-harap mereka lebih berjaya.

“Sasaran satu trofi ini sudah disampaikan kepada pemain-pemain,” jelasnya kepada media selepas majlis pelancaran kit pasukan dan memperkenalkan pegawai dan pemain FUFC di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), di sini.

Mohd Isa yang juga Pengerusi Felda, FUFC tidak mendapat sebarang penaja gergasi seperti pasukan lain dan hanya menggunakan peruntukkan sendiri (in house).

Mengenai STAR yang bakal menjadi venue tuan rumah musim ini, Mohd Isa menjelaskan ia adalah hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat felda mempunyai stadium sendiri.

Pintu depan STAR.

“Saya yakin beliau gembira dengan stadium yang sudah siap ini.

“Stadium ini merupakan yang  pertama  dibina khas untuk sukan bolasepak dan berkonsepkan serba moden serta menepati spesikasi yang ditetapkan oleh Fifa.

“Kami juga berterima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang banyak memberi kerjasama dan pandangan ketika proses menyiapkan stadium ini.

“Stadium ini bertaraf antarabangsa dan terbuka kepada pasukan-pasukan lain jika ingin menggunakannya,” tambahnya.

Pemandangan di dalam stadium.

Stadium Tun Abdul Razak yang menelan belanja sebanyak RM90 juta adalah  venue khas untuk bola sepak yang pertama di negara ini.

Stadium itu dinamakan  bagi mengiktiraf sumbangan besar Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien.

Stadium yang boleh memuatkan seramai 20,000 penonton itu turut mempunyai kemudahan bilik sauna, bilik persalinan pemain, gimnasium, tandas, bilik solat dan beberapa kemudahan lain.

FUFC, Isa Samad

Artikel Lain