suria

PM Ucap Tahniah Kepada Azizulhasni Duduki Ranking Pertama Acara Keirin

Azizulhasni Awang.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang kerana berjaya menduduki ranking pertama dunia dalam acara keirin.

Najib dalam catatan terbaru Twitter beliau, malam ini, berharap kejayaan Azizulhasni itu menjadi pembakar semangat bagi memburu kejuaraan di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil yang akan membuka tirai pada Ogos ini.

"Tahniah Azizulhasni Awang, ranking nombor satu dunia bagi acara keirin. Saya harap jadi pembakar semangat buru kejuaraan di Olimpik Rio!," katanya.

Kedudukan terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyaksikan Azizulhasni, 28, naik dari kedudukan ketiga sebelum ini dengan 508 mata mengatasi pelumba Perancis, Francois Pervis (504) di kedudukan kedua manakala Edward Dawkins (New Zealand) ketiga dengan 494 mata.

Pencapaian itu merupakan kali kedua buat Azizulhasni selepas mencatat kejayaan yang sama pada 2010.

Azizulhasni yang juga dikenali sebagai 'the Pocket Rocket Man' dalam jawapan balas kepada catatan Twitter Najib mengucapkan terima kasih atas sokongan perdana menteri itu.

"Terima kasih Datuk Seri Najib Tun Razak di atas sokongan. Saya akan cuba yang terbaik. Harap dapat bertemu dengan Datuk Seri," katanya.

Terbaharu, Azizulhasni meraih pingat gangsa dalam acara keirin elit lelaki pada Kejohanan Asia (ACC) di Velodrom Izu di Shizouka, Jepun, minggu lepas dan beliau kini dalam persediaan ke Kejohanan Trek Dunia di London, pada 2 hingga 6 Mac ini. - BERNAMA


acara keirin, Azizulhasni Awang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain