suria

Mohamadou Sumareh Taring Singa Utara

Mohamadou Sumareh (kiri) ketika mewakili PDRM pada musim lalu.

MOHAMADOU Sumareh menjadi taruhan utama pasukan Perlis di bahagian serangan bagi merobek gawang lawan pada saingan Liga Malaysia yang bakal membuka tirainya pada Februari ini.

Bekas penyerang PDRM itu kembali mencuri hati bekas pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh yang kini bergelar ketua jurulatih skuad Singa Utara.

Pemain berusia 24 tahun kelahiran Gambia itu turut yakin sentuhannya akan kembali menyengat apabila berada di bawah pimpinan jurulatih yang pernah menguruskan skuad PDRM sebelum ini.

"Antara faktor utama saya berminat menyertai Perlis adalah kerana Dollah Salleh. Sebelum ini dia pernah melatih saya bersama pasukan lama dulu.

"Malah bukan saya sahaja yang mencuba nasib di sini, beberapa pemain lain yang bersama saya sebelum ini juga turut ikut serta.

"Kami menjalani ujian pemilihan seperti pemain-pemain lain, dan saya gembira kerana terpilih. Cuma sekarang saya perlu bersaing untuk berada dalam barisan sebelas pemain utama nanti," jelasnya yang mengakui Perlis adalah pasukan kedua selepas tiga tahun bersama PDRM.

Dalam pada itu, Sumareh yang semakin fasih berbahasa Melayu mengakui gembira tinggal di Malaysia, malah semua ahli keluarganya kini menetap di Subang Jaya.

"Hampir lapan tahun saya tinggal di Malaysia. Saya juga sudah boleh cakap bahasa Melayu memandangkan ramai kawan-kawan dalam pasukan orang Malaysia. Perkara baharu yang saya pelajari.

"Selain itu, saya juga gemar makan masakan Melayu seperti nasi goreng kampung dan sup daging," jelas anak keempat daripada enam orang adik beradik ini.

Dalam pada itu Sumareh mengakui kehidupan di Kangar jauh berbeza ketika tinggal di Kuala Lumpur.

"Dari segi kehidupan sosial, di sini (Kangar) lebih tenang. Rutin harian saya lebih banyak berada di rumah bermain ‘video games’ selepas tamat sesi latihan.

"Mujur jugalah teman wanita saya ada datang ke sini jika dia tidak sibuk dengan pengajian.

"Dia memahami karier saya dan selalu memberi sokongan. Kami sudah lama bercinta dan di kini sedang belajar di sebuh kolej di Kuala Lumpur," jelasnya mengenai teman wanita warga Tanzania itu.

Sebelum mengakhiri pertemuan dengan mstar Online, Sumareh turut menaruh harapan untuk melihat pasukan Perlis berjaya mara ke saingan Liga Super musim depan serta mampu menjulang trofi musim ini.

"Dengan adanya jurulatih berpengalaman, saya yakin semua pemain akan berganding bahu meraih setiap trofi yanh dipertandingkan musim ini," ujarnya.

Perlis, Singa Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain